KUANTAN – Lebih 3,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat membanjiri Pangkalan Udara Kuantan di sini semalam bagi menyertai program Runway Run 2026.
Acara tersebut diadakan bersempena sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Ke-68.
Majlis pelepasan peserta larian tersebut telah disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris TUDM.

Program yang menjadi antara acara utama sambutan tersebut memberi peluang unik kepada peserta merasai pengalaman berlari di atas landasan terbang sebenar sambil mendekatkan masyarakat dengan operasi dan aset TUDM.
Terdahulu, ketibaan tetamu kehormat diserikan dengan persembahan Drumline daripada Cawangan Muzik dan Kesenian (MUKES) TUDM yang menyemarakkan suasana program.
Menurut TUDM, penganjuran larian tersebut turut menjadi platform memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan warga tentera dan masyarakat awam.
“Program ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Program 28 (P28) bertemakan Fit For Duty Anytime Anywhere sepertimana Tonggak Ke Enam Perintah Ulung Panglima Tentera Udara yang menekankan aspek kesihatan, kebajikan dan kualiti hidup warga udara.
“Inisiatif ini bertujuan melahirkan anggota TUDM yang sentiasa cergas, sihat dan bersedia melaksanakan tugas pada bila-bila masa,” katanya.
Program kemudiannya diteruskan dengan cabutan bertuah yang menawarkan dua buah motosikal sebagai hadiah utama selain pelbagai hadiah lain bernilai lebih RM60,000.
Bagi seorang peserta, Muhammad Rafiq Alias, 22, pengalaman berlari di atas trek lapangan terbang adalah satu pengalaman baharu buatnya.
Katanya, sebelum ini dia telah banyak menyertai larian di sekitar Pahang dan beberapa negeri lain, namun ia tidak sama.
“Ini pengalaman baharu bagi saya dan ia sangat menyeronokkan. Terima kasih TUDM kerana memberi pengalaman baharu ini.
“Saya harap pada masa akan datang, TUDM dapat menganjurkan acara ini lagi dan pastinya saya tidak akan melepaskan peluang itu,” katanya kepada Kosmo!

Turut senada dengan Muhammad Rafiq adalah rakannya, Muhammad Syamsul Akmal, 22, yang sangat teruja dapat berlari di dalam kem tentera sambil dapat melihat aset yang dimiliki TUDM.
“Seronoklah sebab bukan selalu dapat peluang ini. Bagi saya rugi jika orang ramai terutamanya warga Kuantan tidak menyertai HUT ke-68 ini.
“Selain larian, banyak lagi aktiviti sampingan kita boleh teroka, dapat tengok jet-jet pejuang secara lebih dekat, sangat berbaloi saya datang hari ini,” kata anak jati Pekan, Pahang itu.
Dalam pada itu, TUDM berkata, selain acara larian tersebut, pelbagai aktiviti lain turut disediakan kepada pengunjung termasuk pameran aset, demonstrasi operasi dan pertunjukan udara.
Antara aset yang dipamerkan ialah pesawat Sukhoi Su-30MKM, F/A-18D Hornet, Hawk, A400M, C-130H, CN235, EC725AP/H225M, AW139, EC120B, PC-7 Mk II dan B200T.
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan demonstrasi penerbangan melibatkan beberapa aset utama selain latihan Helicopter Insertion & Extraction (HIE) serta demonstrasi penerjunan oleh Pasukan Khas TUDM (PASKAU).
Turut terlibat dalam pameran tersebut adalah Sekretariat Inovasi TUDM yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Hairul Zaimy Ibrahim yang membawa beberapa inovasi baharu khusus dalam memperkasakan aset ketenteraan negara.
Antara inovasi yang dipamerkan termasuk teknologi pemusnah dron berkuasa laser, sistem kawalan keselamatan berasaskan kamera litar tertutup (CCTV) 360 darjah dikenali sebagai ‘Novasight’ serta sistem simulator bagi pesawat pejuang BAE Hawk.
Hairul Zaimy berkata, sekretariat itu juga telah membangunkan sistem lifter atau pengangkat untuk bahan letupan bagi kegunaan jet-jet pejuang seperti Hornet dan Sukhoi.

“Sebenarnya banyak lagi inovasi baharu sedang kita bangunkan terutamanya berkaitan senjata menggunakan laser. Teknologi ini sudah dipraktikkan banyak negara dan ternyata kosnya juga lebih murah berbanding senjata konvensional.
“Malah dari segi ketepatan dan keupayaan sebagai pemusnah juga adalah lebih tinggi,” katanya yang telah membawa tiga emas daripada beberapa pertandingan inovasi luar negara sebelum ini.
Selain itu, pelbagai aktiviti lain turut diadakan termasuk pameran kerjaya, simulator pesawat, pameran persenjataan, persembahan pancaragam, reruai agensi kerajaan dan swasta serta aktiviti mesra keluarga.
Program tersebut bukan sahaja memberi pengalaman berharga kepada pengunjung, malah meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan strategik TUDM dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.-KOSMO! ONLINE














