fbpx
Tangkap layar video memaparkan kerja-kerja memasang palang pemantul cahaya dilakukan oleh seorang individu.

[VIDEO] ‘Terima kasih orang baik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan seorang individu memasang palang pemantul cahaya di sebuah pembahagi jalan di Lembah Sireh, Kota Bharu, Kelantan demi keselamatan pengguna jalan raya mengundang pujian orang ramai.

Menerusi video yang dimuat naik di Facebook Hiyaz Community, individu terbabit menjelaskan inisiatif itu dilakukan selepas berlaku satu kemalangan di lokasi berkenaan kira-kira empat hari lalu.

Menurutnya, sebuah kereta yang datang dari arah bulatan menuju ke AEON Mall Kota Bharu dipercayai gagal menyedari kewujudan pembahagi jalan kecil sebelum merempuhnya sehingga menyebabkan kenderaan tersebut terbalik dan mengalami kerosakan teruk.

“Dalam empat hari lepas ada kemalangan. Kereta itu tak perasan ada divider lalu melanggarnya. Kereta terbalik dan hancur.

“Kereta dari arah bulatan menuju ke AEON Mall tak nampak divider kecil ini sebab tiada pantulan cahaya dan lampu jalan pun tiada,” katanya dalam video tersebut.

Prihatin dengan keadaan itu, dia mengambil inisiatif memasang sebuah palang pemantul cahaya pada pembahagi jalan berkenaan bagi membantu pemandu mengesan kewujudannya terutama pada waktu malam.

Katanya, usaha kecil itu diharap dapat meningkatkan tahap keselamatan dan mengelakkan kejadian sama daripada berulang.

Lebih menyentuh hati, di penghujung video, individu berkenaan turut memaklumkan projek seterusnya yang akan dilaksanakan adalah membaik pulih keadaan jalan di sekitar Lembah Sireh.

Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada orang ramai yang menzahirkan penghargaan atas sikap prihatin individu berkenaan.

“Terima kasih orang baik. Semoga dipermudahkan segala urusan,” tulis Omar.

“Alhamdulillah.. terima kasih orang baik.. baru jalan lalu situ minggu lepas.. bahaya sungguh situ.. semoga ilmu yang tuan ada dan digunakan jalan yang baik akan menjadi asbab kebaikan di mahsyar nanti,” komen Shamiela.

“Inilah contoh rakyat yang bertindak apabila nampak masalah. Semoga lebih ramai mempunyai semangat seperti ini,” komen Adi.

Turut ada yang berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera dengan memasang lampu jalan serta kemudahan keselamatan yang lebih lengkap di lokasi tersebut bagi mengurangkan risiko kemalangan pada masa hadapan.- KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN