fbpx
Gambar hiasan

Boss Ojang hilang dua hari ditemui lemah lepas buat live paranormal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Lelaki yang ditemui dalam keadaan lemah di dalam tandas di Taman Botanikal Ayer Keroh di sini, hari ini selepas dipercayai telah hilang lebih dua hari dilaporkan sempat melakukan siaran langsung aktiviti paranormal di aplikasi TikTok sebelum kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, kehilangan mangsa yang berusia 34 tahun disedari seorang kenalannya yang menonton siaran langsung berkenaan menerusi akaun BOSS OJANG sebelum ia terputus secara tiba-tiba kira-kira pukul 9 malam, 19 Jun lalu.

Menurutnya, individu tersebut yang juga pengadu kes kemudian bertindak ke lokasi di Ayer Keroh Country Club Resort (AKCC) bagi mencari mangsa, namun tidak menemuinya.

“Pengadu turut cuba menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp, namun gagal mendapat sebarang respon.

“Dia kemudian membuat laporan polis pada pukul 3.29 pagi tadi bagi mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa bagi mengesan keberadaan lelaki itu,”katanya kepada pemberita, hari ini.

Katanya, sebaik menerima laporan itu, polis menjalankan usaha mengesan mangsa di sekitar kawasan yang dipercayai menjadi lokasi terakhir lelaki berkenaan.

“Polis kemudian mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi membantu operasi pencarian di beberapa lokasi sekitar Ayer Keroh.

“Operasi melibatkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh bersama SWCorp,” ujarnya.

Jelasnya, ketika operasi sedang dijalankan, mangsa akhirnya ditemukan orang awam di dalam sebuah tandas awam berhampiran kawasan Skytrex, Taman Botanikal dalam keadaan lemah.

Katanya, mangsa kemudian diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Terdahulu, Kosmo! hari ini turut melaporkan pasukan JBPM hanya dimaklumkan berhubung kehilangan tersebut pada pukul 12.18 tengah hari tadi sebelum operasi mencari dan menyelamat digerakkan.

Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, situasi itu tidak seharusnya berlaku kerana kelewatan membuat laporan boleh menyebabkan operasi pencarian menjadi lebih sukar.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN