PETALING JAYA – Ketika ramai anak muda seusianya sedang membina kerjaya dan mengejar impian hidup, seorang gadis dari Kampung Gali Hilir, Raub, Pahang diuji dengan penyakit kanser payudara tahap empat.
Sejak disahkan menghidap penyakit paling digeruni kaum wanita itu, Nurul Jannatul Syazwani Mohamad, 27, menjalani pelbagai rawatan sejak setahun lalu dan kini memerlukan kira-kira RM85,000 untuk menjalani rawatan susulan di China.
Nasib menimpa Nurul Jannatul Syazwani mendapat perhatian Kerajaan Negeri Pahang apabila Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal menziarahinya baru-baru ini.
Dalam lawatan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong tersebut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 yang diluluskan oleh kerajaan negeri bagi membantu menampung kos rawatan yang diperlukan Nurul Jannatul Syazwani.
Menurut Fadzli, sumbangan tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat yang sedang berdepan ujian kesihatan dan kesukaran hidup.
“Kita berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan sedikit beban yang ditanggung Nurul Jannatul Syazwani dan keluarganya dalam usaha mendapatkan rawatan terbaik.
“Saya juga menyeru sahabat handai, kenalan dan orang ramai yang berkemampuan untuk bersama-sama membantu meringankan beban Nurul Jannatul Syazwani,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 556244123308 atas nama Nurul Jannatul Syazwani Mohamad. – KOSMO! ONLINE














