KUALA LUMPUR – Polis berjaya menyelamatkan seorang wanita yang didakwa menjadi mangsa culik untuk wang tebusan RM18,000 dalam tempoh kurang 24 jam, namun siasatan awal mendapati naratif penculikan itu diragui sehingga menyebabkan mangsa sendiri ditahan bagi membantu siasatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, Sarawak menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 43 tahun pada semalam yang mendakwa anak perempuannya berusia lingkungan 20-an diculik individu tidak dikenali.
Menurut beliau, suspek terbabit didakwa meminta wang tebusan sebanyak RM18,000 bagi membebaskan mangsa.
“Susulan laporan itu, satu Pasukan Khas membabitkan JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan JSJ IPK Sarawak telah ditubuhkan bagi melaksanakan operasi menyelamat bermula semalam hingga hari ini dengan menumpukan kawasan sekitar Bandaraya Johor Bahru, lokasi terakhir mangsa dikesan.
“Hasil risikan dan maklumat yang diperoleh, pasukan khas berjaya menyelamatkan mangsa di sebuah rumah di kawasan Taman Perniagaan Setia, Johor Bahru kira-kira pukul 3.30 petang serta menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun di lokasi sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau iaitu dua berkaitan kes dadah dan satu kes jenayah.
Katanya, polis turut merampas empat unit telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.
“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati naratif kejadian culik oleh mangsa meragukan, menyebabkan mangsa turut ditagkap bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Menurut beliau, permohonan reman terhadap kedua-dua individu termasuk mangsa akan dibuat esok mengikut Seksyen 12 Akta Penculikan 1961.
Tambahnya, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau membuat sebarang komen yang boleh menggangu proses siasatan. – KOSMO! ONLINE














