fbpx
Tangkap layar video tular sekumpulan pelancong Malaysia didakwa menjerit 'busuk' dan 'tak mandi' sewaktu berada di tempat awam di China.

‘Tindakan saya keterlaluan, mohon maaf semua’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Wanita yang dikecam berkait video sekumpulan pelancong dari Malaysia didakwa menjerit perkataan ‘busuk’ dan ‘tak mandi’ ketika berada di tempat awam di China, tampil membuat permohonan maaf.

Menerusi hantaran TikTok Ekyn.wong, wanita tersebut atau nama sebenarnya Nur Asyiqin Mohd. Dalil berkata, dia mengakui kekhilafannya selain menyesal atas perbuatan tersebut.

“Saya Nur Asyiqin Mohd. Dalil dengan rendah serta seikhlas hati ingin memohon maaf atas isu tular iaitu kekhilafan reaksi spontan saya ketika bercuti di negara China pada 15 Jun lepas.

“Saya faham dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas tindakan saya yang telah menimbulkan ketidakselesaan kepada mana-mana pihak.

“Saya menghormati pandangan, teguran dan perasaan semua pihak serta tidak pernah berniat untuk menyinggung, mengaibkan atau menimbulkan sebarang konflik kerana ketika itu hanyalah reaksi spontan yang bukanlah dirancang,” katanya dalam hantaran berkenaan.

Wanita itu berkata, dia menerima dan mengambil maklum setiap teguran yang diberikan dengan hati yang terbuka.

“Sesungguhnya, saya menyesali perbuatan saya dan menginsafi akan tindakan saya yang keterlaluan. Daripada insiden ini, saya akan lebih berhati-hati dalam setiap tindakan saya, dan akan lebih peka kepada sensitiviti masyarakat awam.

“Akhir kata, saya sekali lagi memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik. Saya berjanji akan menjadikan pengalaman ini sebagai iktibar untuk menjadi individu lebih matang dan bertanggungjawab pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, tular video sekumpulan pelancong dari Malaysia yang menjerit ‘busuk’ dan ‘tak mandi’ di tempat awam di China sekali gus mengundang kemarahan orang ramai termasuk rakyat negara ini.

Video itu bagaimanapun telah diturunkan, namun sempat dikongsikan oleh pengguna media sosial, malah portal berita antarabangsa juga melaporkan mengenai hantaran video berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN