TAMPIN – Seorang pesakit talasemia beta major sejak berusia empat tahun tidak menjadikan penyakit yang dihidapinya sebagai penghalang untuk berjaya dalam perniagaan diminati sekali gus meraih pendapatan yang agak lumayan setiap bulan.
Nur Fatin Nabila Lokman, 29, berkata, disebabkan minat mendalam dia membuka salun, Nabila Salun Muslimah di bandar ini sejak setahun lalu dengan modal permulaan RM40,000 selepas beberapa tahun mencari pengalaman bekerja dengan pemilik salun lain di Bangi, Selangor.
Katanya, dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung pada 2020 dengan menawarkan khidmat dandanan rambut dari rumah ke rumah sebelum berjaya membuka salun sendiri.
“Saya ambil keputusan ini apabila memikirkan perlu menjalani rawatan pemindahan darah secara berkala setiap bulan.
“Sebelum ini, saya terpaksa berulang-alik agak jauh untuk mendapatkan rawatan dengan memerlukan sehingga tiga beg darah setiap kali rawatan dan kini hanya dua beg di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban,” katanya di sini semalam.
Katanya, ada ketika dirinya berasa lemah dan jika bekerja sendiri dan tinggal berdekatan Seremban, dia mempunyai masa fleksibel menguruskan rawatan.
“Lagipun saya pernah pengsan di tempat kerja sebelum ini. Ia menguatkan lagi hasrat untuk pulang berbakti di tempat kelahiran,” ujarnya.
Bercerita mengenai perjalanan kerjayanya, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, ibunya adalah insan yang mendorongnya berkecimpung dalam bidang tersebut selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Ketika itu ibunya mahu saya sambung belajar di Kolej Komuniti Tampin dalam bidang dandanan rambut dan saya ikut nasihat itu walaupun kurang berminat pada awalnya.
“Saya belajar di kolej itu kira-kira setahun sebelum mencari pengalaman kerja di salun di Bangi pada 2017,” katanya.
Katanya, dia pulang ke Tampin ketika negara dilanda Covid-19 dan pada masa itu dia menyediakan ruang kecil di rumah dan menjalankan khidmat dandanan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetap kerajaan.
“Selepas pandemik berakhir, perniagaan makin berkembang. Saya mula ambil pekerja, mengajar adik sendiri, Nur Erliza Ghazali, 23, dan kini mempunyai sebuah salon dengan empat kakitangan termasuk pekerja sambilan serta pelatih industri,” katanya.
Tambahnya, walaupun berdepan masalah kesihatan dia tetap cekal untuk memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan 3 serta diploma dalam bidang dandanan rambut. -KOSMO! ONLINE
















