fbpx
Azian menunjukkan set makanan yang menjadi pilihan pelanggan di kedai makannya di Tapah baru-baru ini.

Bantuan rumah daripada JKM jadi inspirasi buat ibu tunggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAPAH – Menjadi ibu tunggal kerana tiada jodoh dengan bekas suami kira-kira sembilan tahun lalu bukan menjadi penamat hidup kepada seorang usahawan makanan di Tapah.

Azian Abd. Mauluk, 44, berkata, ketika melalui fasa kesedihan itu, beliau melihat hidupnya telah terhenti sementara tetapi perancangan tuhan lebih baik kerana beliau terus mendapat sokongan yang baik daripada keluarganya untuk bangkit semula selain memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bantuan berharga daripada JKM dalam bentuk rumah kira-kira empat tahun lalu iaitu sebuah rumah yang selesa bernilai RM56,000 yang mempunyai tiga bilik dan satu tandas dan bilik air ternyata begitu melegakan.

“Sebelum ini, saya menetap di rumah pusaka arwah ayah dan ibu. Di sini saya terpaksa bersesak dengan ahli keluarga lain, apatah lagi semasa cuti hari raya kerana adik beradik lain pulang untuk beraya. Agak tidak selesa bagi anak-anak untuk menguruskan aktiviti seharian selain tidak ingin berterusan menyusahkan mereka,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di ge­rainya di Tapah baru-baru ini.

Ibu kepada empat cahaya mata itu menerangkan, JKM turut memberikan bantuan persekolahan sebanyak RM150 setiap bulan kepada empat anaknya yang masing-masing berumur 20, 17, 14, 18 tahun yang membantu meringankan bebanan kewangannya.

Selain itu, wanita ini juga me­nerima bantuan berupa beras daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk). Sementara Majlis Daerah Tapah, Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang pula membantu dalam bentuk sewaan kedai serta infrastruktur awam.

Selain itu, Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan me­­nyumbang dalam bentuk kewangan untuk kelengkapan persekolahan anak-anaknya.

Azian yang berpengalaman luas membantu arwah ayah dan ibunya berniaga restoran makanan sebelum ini ternyata banyak memberi manfaat kepada beliau untuk mula berniaga pada umur 19 tahun di sebuah gerai di daerah tersebut.

“Kedudukan gerai saya agak strategik kerana terletak di kawasan tumpuan.

Oleh itu, saya akan memberi tumpuan terhadap perniagaan menjual makanan dan minuman yang menjadi ke­gemaran semua golongan.

“Terdapat juga hidangan lain seperti pisang goreng, ubi goreng, mi rebus, rojak, air batu campur, cendol dan ais kepal yang dijual pada harga berpatutan kepada pengunjung,” katanya.

Azian yang merupakan peme­gang Diploma Kulinari Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) Kuala Lumpur itu berkata, beliau kini dalam proses menambah kemahirannya dengan mengikuti kursus terutama dalam bidang pemasaran dan pengurusan bajet dan operasi yang dianjurkan oleh Sekretariat Usahawan Negeri Pe­rak (STeP).

Bantuan itu juga selaras dengan flagship kelima Perak Sejahtera 2030 iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembe­lajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan dan flagship keenam Membasmi Miskin Tegar 2025 cetusan berwawasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan dan kondusif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN