PETALING JAYA – “Kalau jumpa saya di taman awam hujung minggu ini, faham-fahamlah.”
Itu antara gurauan rakyat Malaysia yang mula tular di media sosial apabila ramai mengakui sedang berjimat dan mencari aktiviti percuma sementara menunggu hari gaji minggu depan.
Menjelang tarikh pembayaran gaji antara 25 hingga 30 Jun depan, ramai rakyat Malaysia terutama penjawat awam mengakui kini sedang melalui fasa berjimat-cermat selepas menampung pelbagai komitmen bulanan dan perbelanjaan keluarga.
Di media sosial, pelbagai perkongsian dimuat naik pengguna yang mendakwa baki wang dalam akaun mereka semakin menipis sehingga memaksa mereka memilih aktiviti hujung minggu yang tidak memerlukan perbelanjaan besar.
Seorang pengguna, Mohd Ajmal berkata, dia memilih untuk menghabiskan masa di rumah bersama keluarga sehingga gaji diterima minggu depan.
“Weekend (hujung minggu) ini memang duduk rumah. Tunggu gaji minggu depan baru boleh jalan jauh,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, Farish, berkata dia merancang membawa anak-anak ke Taman Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur kerana lokasi tersebut menawarkan pelbagai kemudahan rekreasi percuma.
“Kalau nampak saya di taman permainan awam hujung minggu ini, faham-fahamlah. Akaun tengah berehat. Cadang nak ke Tasik Titiwangsa, kan ada ‘mini water park’ boleh la anak-anak berendam,” katanya.
Susulan itu, ramai menjangkakan taman rekreasi awam, kawasan riadah percuma dan lokasi berkelah keluarga akan menjadi pilihan utama orang ramai sepanjang hujung minggu ini.
Pada masa sama, beberapa pengguna berpendapat pusat beli-belah, lokasi pelancongan berbayar dan destinasi percutian mungkin tidak menerima kunjungan seramai kebiasaan.
“Esok laluan pusat bandar mesti lengang, yang jem (sesak) laluan ke air terjun, parkir taman rekreasi, taman-taman awam,” kata Jnny99_.
“Dah minta anak-anak reka satu aktiviti untuk main di rumah hujung minggu ini. Kena kreatif, baru anak-anak tak ajak keluar. Duit minyak pun dah RM30 tak lari. Kalau dah keluar, bini pun gantung periuk. Baik kita plan aktiviti di rumah cuti dua hari ini,” kata Saiful Hadi. – KOSMO! ONLINE














