fbpx
TBNSA yang terletak di Bukit Cahaya, Selangor sesuai dikunjungi semua peringkat usia.

TBNSA destinasi ekopelancongan lengkap Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENAWARKAN pengalaman ekopelancongan menarik, Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) menjadi destinasi sesuai buat mereka yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi sambil menyertai pelbagai aktiviti rekreasi.

Terletak di Bukit Cahaya, Selangor, TBNSA memiliki keluasan kawasan hijau lebih 800 hektar menjadi lokasi tumpuan warga tempatan dan antarabangsa untuk menghabiskan masa bersama keluarga.

Menurut Ketua Seksyen Komunikasi Korporat dan Acara TBNSA, Norbazliah Ibrahim, taman tersebut menawarkan pelbagai aktiviti yang memenuhi minat pelbagai lapisan usia.

Dengan keluasan kawasan hutan simpan kekal yang masih terpelihara di tengah-tengah pembangunan pesat bandar, taman ini menawarkan suasana tenang dan menyegarkan yang sukar diperoleh di kawasan lain.

Faktor tersebut menjadikannya antara destinasi ekopelancongan terbaik di Malaysia serta lokasi wajib dikunjungi bagi mereka yang ingin mendekati alam semula jadi sambil menikmati pelbagai aktiviti menarik.

Antara yang boleh dilakukan ialah mendaki ke Bukit Sapu Tangan, berjalan kaki atau berbasikal dalam kawasan taman, berkayak, flying fox, paintball dan memanah.

Flying fox antara yang tersedia untuk aktiviti rekreasi outdoor.

“Di TBNSA juga memberi peluang kepada masyarakat untuk merasai sendiri pengalaman menanam padi secara tradisional dan menggagau ikan yang pastinya menjadi satu pengalaman baharu buat mereka di bandar.

“Pengunjung juga dapat bersantai sambil menikmati pemandangan sawah padi serta bermain mini golf bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.

Taman ini turut memberi peluang kepada pengunjung untuk berinteraksi dengan binatang peliharaan yang jinak di taman haiwan seperti arnab, kambing, kuda poni dan alpaca.

Beberapa kawasan rekreasi juga terbahagi kepada beberapa zon antaranya Kampung Budaya yang mempamerkan replika rumah tradisional dari pelbagai negeri di Malaysia.

Kemudian terdapat juga Kampung Idaman iaitu kemudahan penginapan berkonsepkan chalet dan penempatan rekreasi dalam suasana alam semula jadi.

“Ada juga Laman Padi, Taman Malaysia, Laman Zingiberales, Laman Herba, Laman Rempah Ratus dan Taman Buah-buahan Tropika.

“Terdapat juga tarikan komersial seperti Petting Zoo Hussin Fauzi Farm, Mudtrekkerz Paintball, Mini Golf Botani & Cafe, Shah Archery, aktiviti-aktiviti luar dan ekstrem  yang dikendalikan oleh Outdoor Pro Group,” ujarnya.

Pelbagai aktiviti meliputi rekreasi, melihai haiwan, tumbuhan sehinggakan merasai aktiviti kehidupan kampung, semuanya ada di TBNSA.

Bagi memastikan keselesaan pengunjung, pelbagai kemudahan turut disediakan termasuk kawasan parkir, tandas awam, surau serta wakaf untuk berehat.

Begitu juga dengan perkhidmatan trem percuma disediakan setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 4 petang bagi memudahkan pengunjung bergerak ke lokasi tertentu di dalam taman yang mempunyai keluasan yang besar.

Kadar bayaran tiket masuk bagi warganegara Malaysia, dewasa berharga RM3, manakala kanak-kanak berumur enam hingga 11 tahun serta warga emas berumur 60 tahun ke atas hanya dikenakan bayaran RM1.

Kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah serta golongan orang kelainan upaya (OKU) pula menikmati kemasukan percuma.

Untuk pelancong antarabangsa, tiket dewasa berharga RM20, manakala kanak-kanak dan warga emas dikenakan bayaran RM5.

Pengunjung juga boleh menyewa tapak atau ruang yang disediakan di TBNSA untuk mengadakan acara peribadi, program pembinaan pasukan (team building), larian, eksplorasi (explorace) dan pelbagai aktiviti berkumpulan lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN