SEATTLE – Amerika Syarikat (AS) mahu meneruskan momentum cemerlang pada aksi kedua Kumpulan D Piala Dunia 2026 apabila dijadualkan berdepan Australia dalam perlawanan yang berpotensi menentukan juara kumpulan.
Skuad tuan rumah mencuri perhatian selepas membelasah Paraguay 4-1 pada aksi pembukaan, sekali gus mencetuskan keyakinan bahawa mereka mampu melangkah jauh dalam kejohanan kali ini.
Namun, pemain sayap AS, Tim Weah mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak memandang rendah Australia yang hadir dengan keyakinan tinggi selepas mengejutkan Turkiye 2-0 dalam perlawanan pertama.
Malah, Weah berharap tonggak utama pasukan, Christian Pulisic dapat diturunkan walaupun masih dibelenggu masalah kecederaan betis yang memaksanya dikeluarkan lebih awal ketika menentang Paraguay.
“Saya fikir dia akan bersedia untuk perlawanan itu. Saya hanya berdoa agar dia benar-benar cergas 100 peratus kerana kami memerlukannya,” katanya.
Seorang lagi pemain AS, Sebastian Berhalter mengakui Australia bukan lawan yang mudah berdasarkan pengalaman pertemuan terdahulu apabila pasukan bimbingan Mauricio Pochettino itu terpaksa berdepan cabaran fizikal yang cukup sengit.
“Jika anda menonton perlawanan kami menentang mereka tahun lalu, anda boleh lihat mereka benar-benar bersedia. Mereka bermain dengan sangat agresif dan memberi tekanan sepanjang perlawanan,” katanya.
Kemenangan ke atas Australia bukan sahaja akan meletakkan AS semakin hampir ke pusingan kalah mati, malah mengukuhkan status mereka sebagai calon utama untuk menamatkan saingan Kumpulan D di tangga teratas. – AGENSI














