ATLANTA, Amerika Syarikat – Republik Czech terlepas peluang untuk mencari kemenangan pertama mereka dalam saingan Kumpulan A Piala Dunia 2026 apabila sekadar seri 1-1 ketika menentang Afrika Selatan di Stadium Atlanta, awal pagi tadi.
Skuad bimbingan Miroslav Koubek terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Michal Sadilek seawal minit keenam hasil gerakan pantas pasukan Czech yang jelas menguasai tempo permainan pada awal perlawanan.
Namun, kelebihan itu gagal dipertahankan apabila mereka dihukum pada penghujung aksi selepas Afrika Selatan dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Pavel Sulc.
Teboho Mokoena tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila tenang menyempurnakan sepakan pada minit ke-83 untuk menghidupkan semula harapan Afrika Selatan dalam perjuangan mereka di peringkat kumpulan.
Czech dilihat lebih banyak mencipta peluang sepanjang perlawanan, namun ketumpulan penyudah menyaksikan mereka gagal menambah jaringan bagi mengesahkan kemenangan.
Keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan kini berkongsi satu mata selepas masing-masing tewas pada aksi pembukaan, sekali gus menjadikan perebutan tempat ke pusingan seterusnya semakin terbuka.
Czech akan menentang Mexico dalam aksi terakhir kumpulan, manakala Afrika Selatan berdepan Korea Selatan, dengan kedua-dua pasukan perlu bangkit mencipta kemenangan untuk menghidupkan peluang ke pusingan kalah mati. -AGENSI














