JOHOR BAHRU – Kejayaan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) dan agenda Maju Johor 2030 kini terletak di tangan rakyat apabila mereka bakal membuat keputusan penting pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai depan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, segala perancangan dan asas pembangunan yang dibina kerajaan negeri sejak empat tahun lalu memerlukan kesinambungan bagi memastikan sasaran yang ditetapkan menerusi JETP dapat direalisasikan sepenuhnya menjelang tahun 2030.
Menurut beliau, Johor kini berada pada landasan yang tepat dengan pelbagai pencapaian termasuk rekod pelaburan, pertumbuhan ekonomi tertinggi negara dan peningkatan hasil negeri yang disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif kebajikan serta pembangunan.
“Pilihan di tangan rakyat Bangsa Johor. Sama ada mahu meneruskan pelan pembangunan Maju Johor ataupun memilih haluan yang lain. Kita sudah berada di pertengahan perjalanan. Asas telah dibina dan hasilnya sudah mula dilihat. Kini tanggungjawab kita adalah memastikan perjalanan ini sampai ke garisan penamat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.
Dalam ucapan perasmiannya, Onn Hafiz berkata, JETP menjadi pemangkin utama kepada agenda Maju Johor 2030 yang digerakkan menerusi enam teras utama melibatkan tadbir urus kerajaan, pembangunan ekonomi, jaringan keselamatan sosial, kemudahan dan keperluan asas, keselamatan serta kelestarian, selain pembangunan orang muda.
Bagaimanapun, katanya, pelan berkenaan hanya akan berjaya sekiranya mendapat sokongan dan dokongan berterusan daripada seluruh Bangsa Johor. – KOSMO! ONLINE














