KUALA TERENGGANU – Bekas Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 32 pertuduhan menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM156,336.
Tertuduh, Manain Mat Harun, 55, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, Manain didakwa menerima suapan tanpa balasan berjumlah keseluruhan RM156,336.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh menerusi beberapa transaksi berasingan antara 2015 hingga 2020 di sekitar Kemaman.
Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee, manakala tertuduh pula diwakili peguam Mohd Shahir Mat Jusoh.
Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM36,000 dan seorang penjamin, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Julai depan. – KOSMO! ONLINE














