PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat di beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah hingga pukul 4 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah seluruh Perlis dan Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Padang Terap).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Sarawak melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Sarikei (ulau), Sibu (Kanowit), Kapit (Song dan Kapit), Miri (Marudi) dan Limbang,” katanya.
Di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Sandakan (Kinabatangan dan Sandakan) dan Kudat (Pitas dan Kudat).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














