fbpx
Tangkap layar hantaran Thread @Cikgukamil4436 berhubung bantahan yang dihantar kepada Marie Claire Australia dan Universiti Sydney susulan kenyataan seorang wanita Rohingya.

Rakyat Malaysia tidak duduk diam, buat bantahan kepada Marie Claire

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tidak sekadar meluahkan kemarahan di media sosial, rakyat Malaysia mula mengambil langkah dengan mengemukakan bantahan rasmi kepada majalah antarabangsa, Marie Claire Australia susulan kenyataan kontroversi aktivis Rohingya, Noor Azizah mengenai negara ini.

Menerusi satu hantaran di laman Threads oleh @Cikgukamil4436, dia mendakwa Noor Azizah telah membuat kenyataan didakwa tidak tepat dan berat sebelah mengenai layanan Malaysia terhadap komuniti Rohingya ketika berucap pada satu majlis graduasi di Universiti Sydney.

Dalam hantaran sama, dia turut memuat naik tangkap layar emel aduan rasmi yang telah dia hantar kepada Marie Claire Australia dan Universiti Sydney berhubung perkara itu.

Menurutnya, ucapan Noor Azizah telah menggambarkan Malaysia secara tidak adil serta mengabaikan pelbagai bantuan yang diberikan negara ini kepada pelarian Rohingya sejak sekian lama.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya percaya kenyataan tersebut mempersembahkan Malaysia dalam cara yang tidak adil, mengelirukan dan sangat berat sebelah,” katanya.

Seorang pengguna, @Muhammad_zafry turut memuat naik tangkap layar emel yang dihantar kepada Marie Claire Australia.

“Saya sudah, anda bila lagi?”, katanya.

Seorang lagi pengguna, @Krwoo__ turut menggesa Marie Claire Australia membuat keputusan sewajarnya terhadap pemilihan Noor Azizah sebagai penerima pengiktirafan berkenaan.

“Dia membuat ucapan yang memudaratkan dan penuh kebencian terhadap Malaysia yang dikenali kerana menerima komuniti Rohingya ketika krisis negara mereka.

“Kami menuntut permohonan maaf secara terbuka daripadanya dan menarik balik pengiktirafan tersebut,” katanya.

Selain itu, seorang pengguna @Ladyrora mendakwa kenyataan Noor Azizah telah memberikan imej buruk kepada Malaysia meskipun negara ini banyak membantu komuniti Rohingya sejak sekian lama.

Terdahulu, ucapan Noor Azizah pada majlis graduasi di Universiti Sydney mencetuskan perdebatan selepas mendakwa komuniti Rohingya terus berdepan diskriminasi dan eksploitasi di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Dia turut membangkitkan isu penahanan di pusat imigresen, ucapan kebencian di media sosial serta pemerdagangan manusia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN