SHAH ALAM- Seramai 50,000 keluarga berpendapatan rendah di Selangor bakal menerima bantuan RM100 sebulan menerusi program Baucar Kita Selangor bermula 30 Jun hingga Disember ini bagi membantu meringankan kos sara hidup.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan itu merupakan antara inisiatif utama di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor (PPDTS) Fasa 1 yang diumumkan kerajaan negeri pada April lalu.
Menurut beliau, penerima bantuan sedang dikenal pasti menerusi beberapa pangkalan data sedia ada termasuk Inisiatif Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), eKasih dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
“Kami akan meneliti senarai penerima pada 22 hingga 23 Jun sebelum mengumumkan mereka yang layak menerima bantuan ini,” katanya selepas merasmikan PPDTS Fasa 1 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata, program Jelajah Ehsan Rahmah (JER) akan diperluaskan di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah.
“Sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk program JER, termasuk tambahan RM5 juta menerusi pakej ini,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan seramai 120,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menerima manfaat program Sarapan Percuma yang dijadual bermula Ogos ini melibatkan 965 sekolah di seluruh negeri. – KOSMO! ONLINE














