KEMAMAN – Kegiatan peyeludupan diesel berjaya dibongkar Pasukan Polis Marin (PPM) dalam serbuan di Hulu Jabor, di sini semalam.
Serbuan pada pukul 11 pagi itu berjaya merampas 5,150 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM51,580.50.
Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Mohd. Khairuddin Jamal berkata, serbuan dilakukan setelah mendapat aduan awam berhubung kegiatan penyimpanan dan pengendalian diesel yang tidak mengikut undang-undang.
“Serbuan berjaya menemui tangki skid dan pam nozel serta minyak diesel sebanyak 5,150 liter. Penjaga premis tersebut gagal mengemukakan permit sah bagi penyimpanan dan pengendalian diesel berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Khairuddin berkata, lelaki berusia 55 tahun terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, barangan rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – KOSMO! ONLINE














