fbpx
Kerja-kerja meroboh sturuktur bangunan berhampiran flat empat tingkat di Sungai Tekali, hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/ KOSMO!

Pemilik tanah robohkan ‘Flat Rohingya’ di Hulu Langat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU LANGAT – Struktur bangunan yang sebelum ini menjadi penempatan etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, di sini, mula dirobohkan apabila pemilik tanah mengambil tindakan merobohkan binaan yang didirikan di kawasan berkenaan, hari ini.

Seorang bekas penghuni yang ditemui memaklumkan kerja-kerja perobohan bermula kira-kira pukul 9 pagi dan melibatkan beberapa struktur yang telah dikosongkan sebelum ini.

“Tadi lebih kurang pukul 9 pagi sudah mula buat kerja-kerja roboh,” katanya kepada pemberita.

Tinjauan Kosmo! pada pukul 4 petang mendapati kerja-kerja perobohan sedang giat dijalankan di bahagian belakang bangunan empat tingkat yang sebelum ini didiami warga asing.

Keadaan di lokasi juga didapati lengang apabila bangunan tersebut telah dikosongkan sepenuhnya tanpa kelibat penghuni.

Difahamkan, bangunan empat tingkat yang menjadi perhatian ramai sebelum ini turut dikosongkan sebagai persediaan sebelum proses perobohan dilaksanakan secara berperingkat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd. Aziz menerusi hantaran di Facebook mengesahkan kerja-kerja perobohan sedang dilaksanakan dibahagian belakang flat berkenaan.

Menurut beliau, proses tersebut kini sedang berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan.

“Kerja perobohan struktur di kawasan tersebut sedang dilaksanakan oleh pemilik tanah sendiri dan kini berada dalam proses pelaksanaan.

“Ia termasuk bangunan seakan-akan flat empat tingkat itu, namun pemilik tanah memulakan kerja perobohan di bahagian belakang terlebih dahulu,” ujarnya.

Sebelum ini, penempatan berkenaan menjadi tumpuan selepas didakwa dihuni ramai warga asing dan dibina tanpa kelulusan di atas sebahagian tanah persendirian serta kawasan rizab kerajaan, sekali gus mencetuskan perhatian pelbagai pihak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN