fbpx
Gambar hiasan. JANAAN AI

Kad UNHCR tidak kebal, hanya bezakan pelarian atau tidak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kad yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak boleh disamakan dengan kewarganegaraan atau dianggap sebagai bentuk imuniti daripada tindakan undang-undang.

Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Salawati Mat Basir berkata, masih ramai masyarakat yang tersalah faham mengenai fungsi sebenar kad UNHCR.

Menurut beliau, kad berkenaan hanyalah dokumen pengenalan yang mengesahkan seseorang itu berstatus pelarian dan bukannya warganegara sesebuah negara.

“Kad UNHCR bukan lesen kebal. Ia tidak bermaksud seseorang itu tidak boleh ditahan atau disentuh oleh pihak berkuasa.

“Ia hanya berfungsi sebagai dokumen pengenalan untuk membezakan pelarian dengan penduduk tempatan atau warga asing lain,” katanya.

Beliau menjelaskan, proses mendapatkan pengiktirafan sebagai pelarian melalui UNHCR juga bukan sesuatu yang mudah kerana pemohon perlu melalui pelbagai sesi temu bual dan penilaian yang ketat.

“Bukan datang sekali temu bual terus dapat kad. Ada yang perlu menghadiri beberapa kali temu bual sebelum status mereka diputuskan,” ujarnya.

Tambah beliau, pemegang kad UNHCR juga lazimnya ditempatkan dalam senarai menunggu untuk penempatan semula ke negara ketiga seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia atau negara-negara Eropah.

Bagaimanapun, katanya, proses tersebut mengambil masa yang panjang kerana setiap negara mempunyai syarat pemilihan yang ketat.

“UNHCR hanya mengiktiraf mereka sebagai pelarian. Status itu tidak sama dengan kewarganegaraan dan tidak memberikan hak yang sama seperti rakyat sesebuah negara.

“Perlu difahami bahawa pelarian dan warganegara adalah dua perkara yang berbeza dari sudut undang-undang antarabangsa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN