PETALING JAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu meneruskan lawatan ziarah beliau di Uzbekistan ke kompleks bersejarah Shah-i-Zinda selepas mengunjungi Kompleks Memorial Imam al-Bukhari di negara itu.
Menerusi perkongsian di media sosial, Mohamad berkata Shah-i-Zinda merupakan antara khazanah sejarah Islam paling berharga di Uzbekistan yang menyimpan pelbagai kisah kegemilangan tamadun Islam di Asia Tengah.
Menurut beliau, kompleks berkenaan bukan sekadar himpunan makam bersejarah, malah menjadi simbol perkembangan pesat peradaban Islam sejak ratusan tahun lalu.
“Keindahan seni bina yang memukau, ukiran yang begitu halus serta nilai sejarah yang tersimpan di setiap sudut menjadi bukti keagungan ilmu, budaya dan peradaban yang pernah dibina oleh umat Islam,” katanya.
Beliau berkata, lawatan ke tapak warisan itu memberi pengajaran bahawa kemajuan sesebuah tamadun tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya dibina menerusi asas ilmu pengetahuan, perpaduan masyarakat serta kepimpinan yang berwawasan.
“Menelusuri warisan seperti Shah-i-Zinda mengingatkan kita bahawa kemajuan sesebuah tamadun dibangunkan atas kekuatan nilai, ilmu dan kesatuan masyarakat,” ujarnya.
Shah-i-Zinda yang terletak di bandar bersejarah Samarkand merupakan antara destinasi pelancongan dan ziarah paling terkenal di Uzbekistan, selain diiktiraf sebagai sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Kompleks itu terkenal dengan deretan makam, masjid dan binaan berjubin biru yang memaparkan kehalusan seni bina Islam serta menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia. – KOSMO! ONLINE














