fbpx
MASRITA (kanan) bersama Mohd. Asrul menunjukkan produk keluaran syarikatnya di Taiping baru-baru ini..

Bangkit dari Covid-19, Laksa Malam semakin popular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAIPING – Keperitan hilang pekerjaan ekoran pandemik Covid-19 yang ditempuhi sepasang suami di sini tidak mematahkan semangat mereka untuk bangkit dan mencari rezeki dalam dunia perniagaan.

Bahkan pasangan terbabit, Mohd. Asrul Affendy, 51, dan iste­rinya, Masrita Umar Baki, 51, yang merupakan pemilik Laksa Malam di Medan Selera Majlis Perbandaran Taiping (Sebelah Petron) di Jalan Station, Kamun­ting adalah pemilik dua sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Masrita berkata, perjalanan mereka dalam bidang makanan dan minuman (F&B) bermula pada 2021 apabila dia dan suaminya kehilangan kerja ekoran Covid-19.

“Suami yang bekerja sebagai penyelia di kilang tayar Silverstone terlebih dahulu hilang kerja pada Jun 2021, sebelum saya menerima nasib yang sama pada Disember.

“Keadaan itu menjadi pendorong buat kami untuk menjalankan perniagaan Laksa Malam dari rumah di Taiping secara sepenuh masa dan Alhamdulillah, sambutan diterima memang menggalakkan,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Masrita menjelaskan, keadaan itu berterusan selama setahun sebelum perniagaannya sedikit terjejas ekoran orang ramai sudah boleh mengunjungi premis makanan kembali.

Tambah wanita ini, beberapa pihak berkaitan termasuklah MAIPk menasihatinya untuk membuka premis bagi kelangsungan Laksa Malam.

“Bermula Ogos 2023, Laksa Malam dibuka di gerai nombor 4 medan selera berkenaan. Pada masa sama, kami terus menerima bimbingan daripada MAIPk dan saya sendiri menyertai program Proper A di bawah mereka pada 2024.

“Saya dan suami juga nekad untuk mendapat bimbingan sekali gus memohon pensijilan halal dari Jakim. Pada Jun 2025, sijil pertama kami terima dan 1 April lalu pula mendapat (sijil pengesahan halal) kedua,” katanya.

Ujarnya, sijil halal Jakim pertama diterimanya itu meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap makanan dihasilkan Laksa Malam yang menjual makanan seperti kuetiau goreng daun simpok, laksa dan mihun sup.

Bukan itu sahaja, usahawan ini juga memiliki kilang berskala kecil milik untuk menghasilkan produk seperti Kuah Laksa dan Daging Dendeng Perak.

“Bimbingan MAIPk bukan hanya diterima pada peringkat permulaan perniagaan semata-mata tetapi ia berterusan sehingga ke hari ini.

“Insya-Allah, kami akan memasarkan produk seperti Kuah Laksa ke beberapa pasar raya pada pertengahan tahun depan.

“Kami sedang giat membuat perancangan ke arah segmen baharu itu,” katanya.

Ujarnya, antara pihak yang turut memberi bantuan kepada mereka termasuklah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Perak.

Program Proper A MAIPk menepati flagship pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN