fbpx
EE WEI mengakui berharap mampu untuk beraksi di Kejohanan Dunia biarpun sedar kecederaan memerlukan tempoh pemulihan panjang.

Ee Wei masih harapkan keajaiban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMAIN beregu campuran utama negara, Toh Ee Wei tidak pasti sama ada sempat pulih ataupun tidak daripada kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) menjelang Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India pada 17 hingga 23 Ogos depan.

Ee Wei yang sudah pun mampu berjalan seperti biasa menjelaskan, dia masih menunggu laporan hasil imbasan MRI daripada doktor sama ada kecederaan dialami memerlukan pembedahan ataupun tidak.

Mengulas sama ada akan beraksi di Kejohanan Dunia ataupun tidak, pemain kelahiran Melaka itu menganggap tempoh terlalu singkat, sekali gus memerlukan dia mengharapkan keajaiban untuk pulih sepenuhnya.

“Sekarang sudah satu minggu lebih, saya sudah boleh berjalan seperti biasa. Memang ini merupakan kecederaan ACL, tetapi kita boleh berjalan seperti biasa, cuma sukar untuk masuk bermain di dalam gelanggang.

“Saya tidak boleh sahkan (ke Kejohanan Dunia) kerana belum bercakap dengan jurulatih dan kena tunggu cadangan doktor. Tempoh terlalu singkat dan mungkin perlu harapkan keajaiban,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Sekiranya tidak menyertai Kejohanan Dunia, Ee Wei yang bergandingan dengan Chen Tang Jie bakal terlepas peluang untuk mempertahankan yang dimenangi pada edisi tahun lalu di Paris, Perancis.

Sebagai rekod, pemain berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan koyakan separa pada ACL lutut kirinya ketika sedang menggalas cabaran negara ketika aksi suku akhir Terbuka Singapura hujung bulan lalu.

Sementara itu, Ee Wei meminta Tang Jie supaya tidak menunggu kepulangannya daripada masalah kecederaan dan berganding dengan sesiapa sahaja sepanjang ketiadaannya yang sedang mengharungi proses pemulihan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN