MARANG – Nasib Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan dalam mesyuarat khas yang dijadual berlangsung Rabu ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kedudukan Bersatu sama ada kekal dalam PN atau sebaliknya turut akan dipengaruhi pendirian dua parti anggots lain iaitu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
“Majoriti parti anggota (PN) akan buat keputusan (kedudukan Bersatu). Kita (Pas) sebagai Pengerusi PN sudah putus (hubungan politik) dengan Bersatu (tetapi) Bersatu masih ahli (PN).
“Terpulang kepada dua parti (Gerakan dan MIPP) hendak sokong kita (Pas) atau Bersatu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Rusila di sini hari ini.
Terdahulu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada Isnin lalu memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu yang merupakan rakan sekutu utama dalam PN.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi membayangkan Pas berhasrat menjemput kumpulan Reset yang diketuai bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipecat untuk menganggotai PN.
Ahli Parlimen Marang itu juga mengesahkan Pas telah melakukan pertemuan dengan kepimpinan Reset kelmarin selain beliau turut akan menghadiri konvensyen kumpulan itu yang dijadual berlangsung di Tanah Merah, Kelantan esok.
“Semalam ada perjumpaan dengan Reset dan esok konvensyen (Reset) di Tanah Merah. Saya akan umum beberapa perkara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














