ISLAMABAD – Sebuah helikopter milik Tentera Darat Pakistan terhempas sejurus berlepas, dipercayai akibat kerosakan teknikal, lapor akhbar The Sun UK.
Helikopter Mi-17 itu terhempas dekat bandar Muzaffarabad di wilayah Kashmir ditadbir Pakistan kelmarin. Semua kru dan penumpangnya terbunuh.
Beberapa saksi berkata, mereka melihat helikopter itu mengalami masalah sebaik berada di ruang udara sebelum terhempas.
“Pasukan penyelamat bergegas membawa semua mangsa ke hospital berdekatan.
“Namun, mereka disahkan meninggal dunia,” kata tentera Pakistan tanpa mendedahkan bilangan mangsa.
Punca nahas masih disiasat. Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari dan Perdana Menteri Shehbaz Sharif mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. – AGENSI














