KUALA PILAH – Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz dimasyhurkan menyandang Gelaran Pusaka Putera Yang Empat iaitu Tunku Panglima Besar berkuat kuasa serta-merta.
Istiadat pemasyhuran tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, di sini pagi ini.
Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, pemasyhuran berkenaan dibuat bagi mengisi kekosongan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan.
“Ke Bawah Duli Tuanku menzahirkan keyakinan bahawa Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-’Abidin selaku Tunku Panglima Besar akan terus memainkan peranan penting dalam menjunjung kedaulatan Institusi Diraja Negeri Sembilan serta memelihara kepentingan rakyat dan negeri,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Azizi dilaporkan berkata, cubaan Tunku Datuk Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar menerima gelaran yang tidak sah dengan sendirinya melepaskan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan berkenaan. – KOSMO! ONLINE














