fbpx
Salah seorang pembeli memilih penyaman udara berikutan cuaca panas untuk dipasang di rumahnya di Shah Alam semalam.

Orang Selangor berpeluh, tauke ‘aircond’ ketawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Bahang cuaca panas yang melanda Shah Alam dan Klang sejak kebelakangan ini menyebabkan jualan pe­nyaman udara meningkat sehingga 40 peratus apabila orang ramai berlumba-lumba mendapatkan alat penyejuk berkenaan.

Tinjauan Kosmo! di beberapa kedai elektrik mendapati model berkapasiti satu kuasa kuda (1HP) paling laris kerana sesuai digunakan di bilik tidur dan kediaman bersaiz sederhana.

Seorang pengusaha kedai penyaman udara yang mahu dikenali sebagai Devon, 30, berkata, lonjakan permintaan itu mula dirasai sejak bulan lalu.

“Sebelum ini, kami secara puratanya hanya menjual lima atau enam unit sehari terutama yang berharga sekitar RM1,000 ke atas.

“Namun, kini jumlah itu me­ningkat sebanyak 10 unit yang kebanyakannya bersaiz kecil untuk dipasang di bilik, “ katanya kepada Kosmo!.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan ramai penduduk di Shah Alam mengeluh berdepan cuaca panas luar biasa sehingga terpaksa ‘mandi peluh’ walaupun pada waktu malam.

Rata-rata mereka berkongsi pengalaman berdepan bahang yang disifatkan luar biasa terutama yang tidak mempunyai penyaman udara di rumah.

Seorang lagi peniaga, Alex yang berusia lingkungan 50-an berkata, jualan bulanan turut meningkat lebih 40 unit berbanding kebiasaan.

“Selain pembeli kali pertama, ramai pelanggan menukar penyaman udara lama kepada model baharu yang mempunyai kapasiti lebih tinggi.

“Mereka mahu kediaman lebih selesa kerana cuaca sekarang memang terasa lebih panas, “ ujarnya.

Sementara itu, juruteknik penyaman udara, Alif, 35, berkata, permintaan untuk membaiki alat berkenaan juga meningkat apabila ramai pengguna mendapati sistem penyejukan tidak lagi berfungsi dengan baik.

“Kebanyakan mereka me­ngadu sukar tidur malam kerana tahap kesejukan alat itu kurang atas faktor kerosakan.

“Jika kerosakan itu tidak boleh dibaiki, saya juga mencadangkan mereka supaya membeli baharu di kedai dengan waranti yang munasabah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN