KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor diperintah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini membayar ganti rugi sebanyak RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas dari Lubnan Global Royalty Trading SAL berhubung kehilangan 43 unit barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepada isteri Perdana Menteri itu.
Hakim Datuk Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas membenarkan saman yang dikemukakan syarikat itu selaku plaintif terhadap Rosmah, 75, selaku defendan dalam kes saman itu.
Mahkamah turut memerintahkan, ganti rugi itu perlu dibayar Rosmah dalam tempoh sebulan bermula tarikh penghakiman hari ini selain Rosmah perlu membayar kos sebanyak RM150,000 yang mana RM75,000 kepada plaintif manakala RM75,000 lagi kepada pihak ketiga.
Global Royalty memfailkan saman AS$14.57 juta saman terhadap Rosmah berkaitan kehilangan lebih 40 unit barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepada Rosmah.
Sebelum ini, pada hari pertama perbicaraan 13 April lalu, mahkamah telah mendengar keterangan pengasas Global Royalty, Samer Hassim Halimeh selaku saksi plaintif diikuti Rosmah selaku defendan.
Rosmah Ketika memberi keterangan menafikan beliau mengabai atau enggan memulangkan lebih 40 barang kemas yang hilang kepada syarikat barang kemas dari Lubnan itu.
Katanya, sepanjang tempoh berkaitan, beliau telah mengambil langkah berwaspada dalam menjaga barang kemas terbabit dengan niat untuk memulangkannya kepada Samer Hassib apabila diminta dalam keadaan asal seperti barang kemas itu diterima.
Pada hari berikutnya, mahkamah kemudian mendengar keterangan lima saksi yang dikemukakan oleh pihak ketiga antaranya bekas pegawai kanan polis yang terlibat dalam serbuan di kediaman mewah Pavilion Residences, lapan tahun lalu.
Seorang bekas pegawai kanan polis iaitu Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, 68, memberitahu, pasukan serbuan menemukan sejumlah besar wang tunai dan barang kemas melimpah keluar dari bagasi sehingga bertaburan atas lantai ketika menggeledah Pavilion Residences yang mana serbuan itu dikaitkan dengan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau yang juga bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman itu berkata, sejumlah 71 bagasi, satu kotak plastik dan 284 kotak mengandungi beg tangan ditemukan di kediaman mewah yang dikaitkan dengan isteri bekas Perdana Menteri pada 17 Mei 2018.
Pada prosiding itu, Peguam Kanan Persekutuan Siti Aishah Ramlan mewakili pihak ketiga iaitu Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan dalam tuntutan saman itu.
Datuk David Gurupatham mewakili Global Royalty manakala peguam Reza Rahim mewakili Rosmah. – KOSMO! ONLINE














