fbpx
AYDA Jebat mendedahkan suami ada digoda seorang lelaki tidak dikenali ketika mereka sama-sama berada di Sarawak untuk urusan pekerjaan.

‘Penyondol bukan perempuan saja’ – Suami Ayda Jebat digoda lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bukan sahaja menjadi perhatian peminat wanita, penyanyi juga pelakon Ayda Jebat mendedahkan suaminya, Nabil Mahir juga pernah berdepan situasi luar jangka apabila diganggu seorang lelaki yang berani cuba mengurat secara terbuka di depan matanya.

Berkongsi kisah mencuit hati itu, Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 34, berkata kejadian berlaku selepas selesai persembahan jelajah di Bintulu, Sarawak.

“Selepas tamat persembahan di Bintulu, kami sedang lepak tiba-tiba ada seseorang datang beri dua keping kertas kepada Nabil.

“Bila buka kertas pertama, tertulis ‘Hai, sila hubungi saya’. Kami semua terkejut. Saya baca pun, tapi tak hairan sebab dia memang kacak,” katanya dalam Threads.

Tambah pelantun lagu Memerang itu, keadaan menjadi lebih menggelikan hati apabila kertas kedua turut mengandungi nombor telefon, sekali gus membuktikan individu tersebut benar-benar serius.

“Nabil, saya dan pengurus hanya mampu tergelak. Dia pula gelak seram sebab takut saya ‘naik angin’.

“Tak sampai lima saat kami ketawa, tiba-tiba datang seorang lelaki menghampiri Nabil dan mengaku, ‘hai, saya yang beri nota tadi, bukan perempuan’,” kongsinya.

Lebih mengejutkan, lelaki tersebut secara berterusan memuji penampilan Nabil dan menyatakan hasrat untuk mengenalinya dengan lebih dekat.

“Dia cakap, ‘saya sangat suka gaya awak, awak bukan kaki perempuan, saya suka awak’. Berkali-kali dia ulang ayat itu.

“Siap ajak buat bisnes bersama dan beritahu dia datang seorang diri. Kami memang tergamam sekejap,” ujarnya.

Ibu tiga anak itu mengakui, sengaja memberi ruang untuk melihat reaksi suaminya sebelum rakan mereka tampil menyelamatkan keadaan.

“Saya saja beri peluang tengok reaksi Nabil. Lepas puas gelak, kawan kami terus masuk campur sebelum keadaan jadi lebih pelik.

“Pengajaran daripada cerita ini, sekarang penyondol bukan perempuan saja, lelaki pun boleh. Walau apa pun, kami seronok di sana. Makanan sedap, orang Sarawak sangat sopan dan baik.

“Yang cuba menggoda Nabil itu bukan orang Sarawak, mungkin datang atas urusan kerja. Terima kasih juga sebab beri kami kenangan untuk dikenang sampai tua,” dedahnya.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen terhibur dengan perkongsian tersebut selain menganggap situasi berkenaan sebagai sesuatu yang jarang berlaku.

Untuk rekod, Ayda mendirikan rumah tangga dengan Nabil Mahir pada 1 Januari 2021 dan pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ana Nayla, Aali Mateen dan Anggun Mikayla. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN