KUALA LUMPUR – “Asalkan mereka tidak menuduh UMNO yang melakukannya.”
Itu respons Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hari ini mengenai pengumuman Pas tentang penamatan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau secara berseloroh, turut menyifatkan UMNO sebagai ‘baik’ dan bukanlah punca ‘penceraian’ itu berlaku.
“Setiap kali (berlaku sesuatu), nanti (mereka) kata ni UMNO punya kerja. UMNO baik lah!” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) 2026 di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.
Terdahulu Kosmo melaporkan, Pas mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu, malam tadi.
Ia sekali gus mencetuskan perkembangan baharu dalam landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum Ke-16.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat selepas mengambil kira keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung kedudukan kerjasama politik antara kedua-dua parti. – KOSMO! ONLINE














