PETALING JAYA – Perikatan Nasional (PN) disifatkan berisiko hilang arah sekiranya gagal menampilkan sosok pemimpin yang mampu menyatukan semua pihak selepas berlakunya perubahan besar dalam landskap politik gabungan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin dalam satu hantaran di laman Facebook berkata, sudah tiba masanya Tan Sri Muhyiddin Yassin dikembalikan sebagai Pengerusi PN bagi mengelakkan gabungan tersebut menjadi medan perebutan pengaruh antara kelompok tertentu.
Menurutnya, keputusan Pas menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu membuka episod baharu yang memerlukan kepimpinan berwibawa untuk mengemudi PN.
“PN tidak memerlukan retorik yang membakar emosi atau perlumbaan menunjukkan siapa lebih kuat. PN memerlukan seorang pemimpin yang mampu menyatukan semua pihak dan mengembalikan fokus kepada perjuangan rakyat. Sebab itulah ramai melihat sudah tiba masanya Tan Sri Muhyiddin kembali memimpin PN sebagai pengerusi,” katanya.
Afif berkata, Muhyiddin bukan sekadar pengasas PN, malah individu yang berjaya menghimpunkan pelbagai aliran pemikiran politik dalam satu wadah perjuangan.
“Jika PN mahu terus relevan dan menjadi kuasa politik yang diyakini rakyat, gabungan itu memerlukan pemimpin yang boleh meredakan perbezaan serta mengelakkan perpecahan dalaman. Malaysia hari ini memerlukan kepimpinan yang menyatukan, bukannya menambah lagi tembok pemisah dalam kalangan rakyat dan pemain politik,” katanya.
Tambahnya, Muhyiddin mempunyai kredibiliti untuk memimpin agenda penyatuan Melayu secara inklusif tanpa mengabaikan kepentingan kaum lain.
Menurutnya, penyokong PN juga semakin lantang menyuarakan hasrat supaya bekas Perdana Menteri itu kembali menerajui gabungan berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan Pas telah membuat keputusan menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai hala tuju dan kepimpinan baharu PN. – KOSMO! ONLINE














