KUALA LUMPUR – Kecederaan yang dialami pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei memberi tamparan kepada perancangan pasukan menjelang Kejohanan Dunia di New Delhi, India, Ogos depan dan Sukan Asia 2026 yang membuka tirai pada September.
Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto menegaskan, keputusan sama ada Ee Wei perlu menjalani pembedahan atau tidak masih belum dapat dipastikan kerana pihaknya masih menunggu penilaian lanjut daripada pasukan perubatan selewat-lewatnya pada Jumaat ini.
Katanya, perbincangan bersama doktor masih dijalankan bagi menentukan tahap sebenar kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang dialami pemain berusia 25 tahun itu.
“Sudah pasti terganggu kerana kami sudah semakin dekat dengan Kejohanan Dunia dan Sukan Asia. Tetapi dalam badminton perkara seperti ini memang biasa berlaku, jadi sebagai jurulatih kami perlu bersedia dan mempunyai alternatif lain.
“Ketika ini, apa yang kami dimaklumkan, Ee Wei mengalami kecederaan ACL, tetapi kami masih menunggu maklumat lanjut mengenai keadaannya termasuk sama ada dia perlu menjalani pembedahan atau sebaliknya.
“Kami masih perlu berbincang dan mendapatkan pandangan daripada doktor terlebih dahulu,” kata Nova kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.
Bagi memastikan rakan sepasukan Ee Wei, iaitu Chen Tang Jie tidak kehilangan rentak, Nova menyediakan pelan B dengan memanggil pemain muda berbakat, Clarissa San bersaing di pada Terbuka Jepun dan Terbuka China bulan depan.
Menurut jurulatih kelahiran Indonesia itu, Clarissa dipilih kerana dianggap pemain paling menyerlah dalam kelompok junior ketika ini selain berpeluang menimba pengalaman beraksi dalam kejohanan bertaraf dunia.
“Saya pilih Clarissa kerana pada pandangan saya dia mempunyai prestasi paling baik dalam kalangan pemain junior ketika ini.
“Buat masa sekarang saya belum boleh bercakap mengenai perancangan jangka panjang kerana kami masih menunggu perkembangan Ee Wei, tetapi untuk Jepun dan China saya mahu mencuba kombinasi Tang Jie dan Clarissa terlebih dahulu,” katanya.
Dalam masa sama, Nova turut mengakui pihaknya terpaksa mempercepatkan proses penilaian terhadap satu lagi gandingan baharu, Jimmy Wong-Cheng Su Yin yang kini dilihat sebagai antara sandaran utama sekiranya Ee Wei terpaksa berehat panjang.
“Jimmy dan Su Yin masih belum kami kekalkan secara tetap. Kami mahu melihat prestasi mereka dalam beberapa kejohanan terlebih dahulu. Jika mereka mampu bersaing dan pergi jauh, mungkin kami boleh kekalkan pasangan itu, tetapi jika tidak kami masih mempunyai beberapa pilihan lain untuk dipertimbangkan,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














