fbpx
Tangkap layar perbualan bersama 'Acik Noor' yang dimuat naik dalam hantaran tersebut.

‘Acik Noor’ lesap lepas ambil duit van sekolah RM180

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang bapa mendakwa mengalami kerugian RM180 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan individu yang menawarkan perkhidmatan van sekolah untuk anaknya.

Menerusi perkongsian tular di Threads, lelaki dikenali sebagai Firdaus Malek berkata, dia pada mulanya mencari pengangkutan untuk menghantar anaknya ke sekolah baharu dan dihubungi seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai “Acik Noor”.

Menurutnya, individu tersebut menggunakan nombor telefon tempatan dan memberikan maklumat yang meyakinkan termasuk kadar bayaran RM130 sebulan bagi perjalanan pergi dan balik ke sekolah serta deposit RM50 yang didakwa akan dipulangkan pada bulan terakhir persekolahan.

Suspek malah turut meminta maklumat lengkap anak, ibu bapa dan alamat rumah selain memaklumkan kononnya menggunakan sebuah Perodua Alza berwarna hitam untuk mengambil murid.

Lebih meyakinkan, suspek turut menetapkan jadual pengambilan murid, berbincang mengenai waktu persekolahan dan meminta bayaran dibuat melalui kod QR yang dihantar menerusi WhatsApp.

Firdaus berkata, dia membuat pembayaran sebanyak RM180 sebelum menghantar bukti transaksi kepada individu berkenaan.

Bagaimanapun, pada hari pertama perkhidmatan sepatutnya bermula, suspek dipercayai gagal dihubungi walaupun beberapa kali dihubungi menerusi panggilan telefon dan mesej WhatsApp.

Tangkap layar dikongsikan menunjukkan beberapa panggilan yang dibuat tidak dijawab sebelum mangsa menyedari dirinya mungkin telah ditipu.

“Silap saya juga tak minta lesen memandu,” tulisnya pada hantaran tersebut sambil menyertakan tanda pagar #scammer#vansekolah.

Lebih mengejutkan, hasil semakan lanjut yang dilakukan mendapati maklumat kenderaan yang diberikan juga dipercayai palsu.

“Saya check bukan kereta Alza, kereta Proton X70 nama orang lain, alamat di Kuala Lumpur,” dakwanya menerusi ruangan komen.

Susulan kejadian itu, Firdaus memaklumkan dia bercadang membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang mendakwa nombor telefon sama pernah dikaitkan dengan beberapa kes penipuan lain.

Seorang pengguna berkongsi tangkap layar aplikasi Truecaller yang memaparkan beberapa pengguna lain melabel nombor berkenaan sebagai ‘scammer van budak sekolah’, ‘scammer khemah kenduri’ dan penipuan berkaitan pelbagai perkhidmatan lain.

“Scammer bas sekolah memang ada dan wujud. Seeloknya check dulu nombor telefon dekat Truecaller. Selain tu semak nombor akaun dia. Merosakkan industri bas sekolah malaysia je diorang ni,” komen Aman.

“Saya pun baru kena orang yang sama bulan lepas. Tapi saya tempah khemah, lesap macam tu je,” komen Atiqah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN