fbpx
KEADAAN terkini Jaslinda selepas ditemukan selamat ketika mendapat rawatan di Hospital Tapah semalam.

‘Saya tunggu dua tiga kali di puncak tapi mereka tak nampak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAPAH – “Apa yang saya lalui selama dua minggu ini cukuplah, saya tak terfikir lagi untuk pergi hiking. Saya mungkin akan teruskan skuba pula.”

Itu kata pendaki wanita, Jas­linda Saludin, 49, yang ditemukan selamat dekat Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh di sini pada Sabtu lalu, selepas tersesat selama dua minggu di dalam hutan di Gunung Batu Putih di sini.

Menurutnya, dia bersedia untuk terus melupakan hobinya itu selepas menempuh kesukaran sepanjang tersesat.

Katanya, dia menyedari dirinya tersesat apabila tidak menjumpai laluan untuk keluar dari hutan tersebut.

“Saya hanya minum apa sahaja sumber air seperti embun, air pada kelopak daun dan air daripada buluh sepanjang dua minggu itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Tapah di sini semalam.

Menurutnya, kaki kirinya kini terpaksa disimen kerana me­ngalami keretakan pada buku lali dan sebelum mendaki lagi, dia sememangnya cedera pada kaki, tetapi bukan patah kaki.

“Pada hari kedua tersesat, saya jumpa anak sungai, jadi saya ikut anak sungai. Saya cuba menyeberangi sungai, namun terjatuh lebih kurang lima meter ke bawah sungai.

“Masa jatuh, kepala saya ma­suk dalam sungai dan kena batu. Kaki saya termasuk celah batu, itu yang menambahkan kecede­raan pada kaki,” katanya.

Ujarnya, dia banyak kali terjatuh sepanjang perjalanan mencari jalan keluar, namun bangun semula sebab ketika itu saya hanya fikir hendak keluar dari hutan.

Katanya, pada waktu malam, dia tidur beralaskan plastik sampah yang dibawa.

“Saya juga ada bawa wisel yang saya tiup setiap kali saya terde­ngar bunyi helikopter, tetapi mereka tidak nampak saya.

“Sebenarnya, dua tiga kali saya tunggu di puncak gunung, tetapi pada masa itu helikopter tak lalu, tak ada rezeki helikopter nak nampak saya pada masa itu,” katanya.

Menurutnya, sepanjang ter­sesat, dia tidak terserempak dengan binatang buas walaupun menemukan kesan atau tapak kaki haiwan liar.

“Mujur tidak terserempak haiwan liar, ini kuasa Allah. Saya hanya nampak tapak kaki binatang buas tapi saya tak nampak walau sekecil
seekor ular sekali pun yang banyak hanya agas dan nyamuk,” katanya.

Jaslinda berkata, sebelum sampai di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, dia menemukan dua simpang sebelum mengambil keputusan meneruskan perjalanan di simpang kanan dan ternampak jambatan gantung yang merentangi sungai.

Katanya, ketika cuba menyeberang jambatan tersebut, dia ternampak dua penduduk Orang Asli sedang memancing.

“Ketika itu saya pandang mereka dan mereka pandang saya. Saya tanya jika mereka ada makanan kerana saya sangat lapar.

“Mereka bawa saya ke perkampungan mereka, mereka papah saya naik ke atas bukit ke rumah mereka. Mereka bawa saya ke rumah tok batin dan suruh saya rehat.

“Mereka beri saya makan mi segera, lepas itu mereka masak nasi, ayam masak kicap dan ikan tengas. Saya bersyukur sangat dapat makan,” katanya.

Menurutnya, pada masa itu semakin ramai penduduk yang datang dan dia tidak tahu kehilangannya sudah diketahui umum.

“Tok batin menghubungi bomba, saya tunggu sehingga petang sampai bomba datang. Saya bersyukur dapat keluar dari hutan dengan selamat,” katanya.

Tambahnya, kekuatannya sepanjang berada di dalam hutan disebabkan keluarga dan anak-anak serta mahu kembali kepada mereka.

“Mereka penguat semangat saya. Saya tahu orang sekeliling mendoakan. Saya hanya tersesat, bukan sebab ada hantu atau bunian yang sorok saya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Tapah, Dr. Wan Immi Salim berkata, berat badan Jaslinda telah susut 10 kilogram (kg) kera­na bergantung pada sumber makanan yang terhad di dalam hutan.

“Untuk yang tepat, berapa berat dia dah turun (Jaslinda) dah turun kita tidak boleh cakap tetapi agak berbeza semasa pergi mendaki dan ditemui,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN