PETALING JAYA – Ramai pemandu mungkin menganggap memejamkan mata beberapa saat ketika memandu bukan sesuatu yang berbahaya, namun pada kelajuan 90 kilometer sejam (km/j), sebuah kenderaan mampu bergerak sejauh kira-kira 125 meter jika terlelap selama lima saat.
Perkongsian Public Health Malaysia (PHM) di Facebook itu dibuat susulan tragedi kemalangan yang mengorbankan enam sekeluarga termasuk seorang bayi di Kampung Baru, Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah pada petang, semalam.
Menurut PHM, keadaan dikenali sebagai ‘microsleep’ bukan sekadar rasa mengantuk biasa, sebaliknya berlaku apabila otak ‘terpadam’ seketika tanpa disedari individu yang sedang memandu.
“Pada kelajuan 90 km/j, kenderaan bergerak kira-kira 25 meter dalam satu saat. Jika otak terlelap lima saat, kenderaan sudah bergerak lebih kurang 125 meter.
“Itu sudah cukup untuk tersasar lorong, cukup untuk lambat bertindak dan cukup untuk menyebabkan kejadian yang tidak sempat diperbetulkan,” katanya.
PHM menjelaskan, ramai tertanya-tanya sama ada kemalangan maut seperti yang berlaku di Sungai Petani itu berpunca daripada ‘microsleep’ atau boleh dielakkan sekiranya kenderaan dilengkapi teknologi bantuan pemandu moden.
Bagaimanapun, PHM menegaskan sebarang kesimpulan awal tidak seharusnya dibuat kerana punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, PHM menjelaskan teknologi keselamatan seperti Advanced Driver Assistance System (ADAS) sememangnya mampu membantu pemandu melalui ciri seperti amaran keluar lorong, bantuan membrek kecemasan dan sistem mengekalkan kenderaan di dalam lorong.
Namun, katanya, teknologi tersebut bukan jaminan untuk mengelakkan semua kemalangan kerana keberkesanannya bergantung kepada pelbagai faktor termasuk keadaan jalan, cuaca, kelajuan kenderaan dan fungsi sensor ketika kejadian berlaku.
“Kereta boleh semakin canggih, sensor boleh semakin banyak dan brek boleh semakin pintar.
“Tetapi apabila seseorang memandu dalam keadaan terlalu letih, bila mata mula berat dan otak mula hilang fokus walaupun beberapa saat, keadaan boleh menjadi sangat berbahaya,” jelasnya.
Sehubungan itu, PHM turut menasihatkan orang ramai supaya segera berhenti berehat sekiranya mula menunjukkan tanda-tanda keletihan seperti kepala mengangguk, tersasar lorong, terlepas simpang atau gagal mengingati beberapa kilometer terakhir perjalanan.
“Jangan serahkan nyawa sepenuhnya kepada teknologi. Jika badan sudah memberi isyarat letih, berhentilah di tempat selamat, tidur seketika, tukar pemandu atau sambung perjalanan apabila benar-benar cergas,” katanya. – KOSMO! ONLINE.














