PETALING JAYA – Penduduk di kawasan pantai timur Sabah diminta kekal tenang dan tidak panik susulan amaran awal tsunami yang dikeluarkan selepas gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 melanda Mindanao, Filipina pagi ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kerajaan melalui Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) serta agensi keselamatan sedang memantau situasi tersebut secara rapi dari semasa ke semasa.
“Mengambil kira situasi semasa, saya ingin memberikan penekanan serius kepada seluruh masyarakat, khususnya penduduk di kawasan pantai sekitar Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu agar kekal tenang dan jangan panik.
“Pihak kerajaan melalui MetMalaysia dan agensi keselamatan sedang memantau situasi ini secara rapi dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan analisis MetMalaysia, tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Sehubungan itu, siren nasihat tsunami telah dibunyikan di empat lokasi berkenaan sebagai langkah kesiapsiagaan dan amaran awal kepada penduduk di kawasan terlibat.
Menurutnya, orang ramai digesa supaya mematuhi sebarang arahan pemindahan atau keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan serta mengelakkan kawasan pantai sehingga keadaan disahkan selamat.
“Pada masa yang sama, sila elakkan daripada mendekati kawasan pantai dalam tempoh masa yang dinyatakan demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE.














