PETALING JAYA – Cuaca panas melampau yang dirasai sejak kebelakangan ini menyebabkan ramai penduduk di Shah Alam mengeluh sehingga ada yang mendakwa mereka terpaksa ‘mandi peluh’ walaupun pada waktu malam.
Tinjauan di platform Threads mendapati pelbagai hantaran berkaitan cuaca panas di Shah Alam tular dengan rata-rata netizen berkongsi pengalaman berdepan bahang yang disifatkan luar biasa.
Seorang pengguna, @Mylo.vefromthestarr berkata, keadaan itu lebih dirasai oleh mereka yang tidak mempunyai penghawa dingin di rumah.
“Permudahkan la warga-warga Shah Alam yang duduk rumah tapi takde aircond. Bahang nak mampus, dah tak boleh berfikiran waras ni,” katanya.
Menurut @Syifazalhe, dia sering berpeluh ketika bangun tidur selain terjaga pada waktu malam akibat cuaca panas.
“Ye, pagi-pagi bangun berpeluh. Malam terbangun bahang nya,” tulisnya.
Sementara itu, pengguna @Frhcina mendakwa cuaca panas di Shah Alam boleh menyebabkan sakit kepala.
“Shah Alam punya bahang boleh buat migrain,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @F.mun12 berkata, dia menyangka hanya biliknya yang panas sebelum menyedari seluruh Shah Alam turut mengalami keadaan sama.
“Akuu fikir bilik aku je bahanggg, rupanya satu Shah Alam panas nak mampus,” ujarnya.
Dalam pada itu, pengguna @Amabebel turut mencuri perhatian apabila memuat naik gambar suntingan memaparkan Shah Alam seolah-olah berada berhampiran matahari.
“Orang Shah Alam banyak dosa ke,” selorohnya. – KOSMO! ONLINE














