SEREMBAN – UMNO Negeri Sembilan merancang meletakkan semua calon di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu dibuat susulan pembubaran DUN Negeri Sembilan 4 Jun lalu.
Menurut beliau, UMNO-Barisan Nasional (BN) melihat PRN sebagai proses demokrasi yang perlu dihormati serta medan untuk meneruskan agenda pembelaan terhadap rakyat negeri ini.
“Sebagai parti yang berteraskan pembelaan kepada rakyat tanpa mengira bangsa, UMNO-BN Negeri Sembilan bersedia untuk meletakkan calon di 36 kerusi yang akan dipertandingkan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, senarai pendek calon yang akan mewakili UMNO-BN sedang dimuktamadkan sebelum diserahkan kepada Presiden parti untuk keputusan akhir dalam masa terdekat.
Katanya, calon yang dipilih terdiri daripada gabungan pemimpin berpengalaman, golongan muda dan wanita yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan serta kepakaran, selaras dengan usaha menampilkan barisan kepimpinan yang berwibawa dan dekat dengan rakyat.
Dalam perkembangan sama, Jalaluddin berkata penyertaan komponen BN dalam PRN Negeri Sembilan akan ditentukan menerusi perbincangan dan keputusan di peringkat kepimpinan tertinggi parti masing-masing. – KOSMO! ONLINE














