fbpx
MOHAMAD NORHASANUDDIN pernah berdepan angin yang kuat dan sejuk di Gunung Rinjani sehingga dia terpaksa menggunakan selimut kecemasan.

Pengalaman getir hampir hipotermia di Gunung Rinjani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUNUNG Rinjani di Indonesia terkenal dengan landskapnya yang dramatik dan mencabar, menjadikannya antara lokasi larian denai paling ekstrem di rantau ini.

Dengan ketinggian mencecah 3,726 meter dari aras laut, Rinjani menawarkan laluan yang merentasi hutan, ladang, lereng berbatu dan kawasan puncak berpasir longgar.

Namun, cabaran itu menarik minat Mohamad Norhasanuddin Mohmad Yaacob untuk menguji ketahanan mental dan fizikal diri dalam cabaran yang lebih ekstrem berbanding aktiviti lasak biasa.

“Saya pilih Gunung Rinjani sebab tak semua orang berpeluang atau berani untuk buat trail di situ. Saya nak uji mental saya dan buat sesuatu yang berbeza daripada orang lain.

“Penyertaan saya dalam kategori 36 kilometer (km) bagi acara Rinjani 100 ini bukan sekadar untuk bersaing tetapi sebagai satu cabaran diri di laluan yang terkenal dengan kesukaran ekstrem serta perubahan bentuk muka bumi yang mendadak,” jelasnya kepada CitaRasa.

Perlumbaan bermula pada pukul 12 malam dari kawasan bawah gunung dalam keadaan gelap dan sejuk.

Sepanjang laluan, Mohamad Norhasanuddin melalui kawasan berbukit, ladang jagung serta trek pendakian yang teknikal dan mencabar.

MOHAMAD NORHASANUDDIN berjaya menamatkan larian denai dalam tempoh kira-kira 10 jam 30 minit.

Lelaki dalam lingkungan 20-an itu berhenti di checkpoint Pelawangan untuk makan dan mengisi semula tenaga sebelum meneruskan pendakian ke puncak.

Cabaran terbesar ialah pendakian dari Pelawangan ke puncak gunung kerana laluan yang sangat curam, berbatu dan licin.

Keadaan angin yang kuat serta cuaca sejuk turut meningkatkan risiko seperti hipotermia.

Menurut Mohamad Norhasanuddin, dia hampir mengalami hipotermia dan terpaksa berhenti seketika selama kira-kira setengah jam untuk memulihkan keadaan badan.

“Sewaktu mendaki ke checkpoint Pelawangan, tubuh saya menggigil dan mula kehilangan suhu badan secara drastik, sekali gus menjejaskan pergerakan saya.

“Saya terpaksa berhenti seketika selama kira-kira setengah jam di kawasan terlindung untuk memulihkan keadaan badan sebelum meneruskan pendakian.

“Dalam tempoh tersebut, saya menggunakan selimut kecemasan untuk mengembalikan suhu badan sambil memastikan diri kembali stabil untuk meneruskan cabaran ke puncak

“Saya berjaya tiba di puncak Gunung Rinjani sekitar pukul 6 pagi dan menerima gelang sebagai tanda sudah sampai ke puncak sebelum berpatah balik ke garisan penamat,” katanya.

Selain faktor cuaca dan bentuk muka bumi, Mohamad Norhasanuddin turut berdepan kesesakan laluan kerana berkongsi trek dengan pendaki biasa.

Hal ini menyebabkan pergerakan menjadi perlahan di beberapa bahagian laluan dan memberi tekanan kepadanya yang perlu kembali semula ke checkpoint Pelawangan sebelum pukul 9 pagi.

Sekiranya gagal menepati masa tersebut, peserta akan dikira sebagai DNF (Did Not Finish) dan tidak dibenarkan meneruskan perjalanan ke puncak serta ke garisan penamat.

Mohamad Norhasanuddin tidak tidur sepanjang perlumbaan kerana acara bersifat perlumbaan pendek tanpa waktu rehat panjang dan tiba di Pelawangan sekitar pukul 8 pagi.

Hasilnya, dia menamatkan perlumbaan dalam tempoh kira-kira 10 jam 30 minit dan mencapai kedudukan sekitar tempat ke-32 daripada 320 peserta bagi kategori lelaki terbuka 36 km.

“Saya mempunyai pengalaman lebih daripada 90 trip pendakian dan sering menjadi pengendali atau penganjur kumpulan pendaki.

“Saya juga pernah membawa peserta ke pelbagai gunung tertinggi di Malaysia dan pernah mendaki Gunung Rinjani sebelum ini.

“Bagi saya, larian denai di Gunung Rinjani lebih mencabar berbanding pendakian biasa kerana melibatkan tekanan masa yang ketat, tiada waktu rehat yang panjang, dan keperluan untuk terus bergerak secara konsisten sepanjang laluan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN