PERANCANGAN rapi selama hampir enam bulan untuk ke Negara Matahari Terbit akhirnya membuahkan hasil apabila saya berpeluang menjelajah tiga destinasi utama Jepun iaitu Osaka, Gunung Fuji dan Tokyo.
Berbeza dengan siri kembara sebelum ini yang dilakukan secara solo, berdua atau bersama keluarga, trip selama sembilan hari penuh itu menyaksikan saya pertama kalinya bertindak sebagai ‘pemandu arah’ kepada dua orang rakan.
Jika kunjungan sulung saya pada tahun 2016 hanya memfokuskan kepada bandar raya Tokyo, perjalanan kali ini melibatkan jadual perjalanan yang diatur lebih padat, dengan pecahan tiga hari dua malam di Osaka, dua hari satu malam di Gunung Fuji dan empat hari tiga malam di Tokyo.
Bagi meminimumkan kos keseluruhan, perkhidmatan penerbangan tambang murah AirAsia kekal menjadi pilihan utama.
Pengembaraan bermula di Osaka. Bagi menjimatkan kos pengangkutan awam, saya memilih untuk membeli Kansai Mini Pass (KMP) berharga RM82 melalui aplikasi Klook yang menawarkan akses tanpa had bagi laluan JR Line selama tiga hari.
Setiba di Lapangan Terbang Kansai, pas tersebut terus ditebus bagi memudahkan pergerakan ke pusat bandar, termasuk lawatan ke dua lokasi ikonik wajib kunjung iaitu Istana Osaka dan papan tanda Glico Sign.

Memasuki hari kedua, pas pengangkutan yang sama digunakan sepenuhnya untuk ke Kyoto yang memakan masa perjalanan selama satu jam dari Stesen Osaka.
Di Kyoto, tumpuan diberikan kepada beberapa destinasi tumpuan pelancong antaranya kawasan kuil Fushimi Inari Taisha dan keindahan alam semula jadi di Arashiyama Bamboo Forest.
Selesai urusan di Osaka, perjalanan diteruskan ke kawasan komunitari Gunung Fuji dengan misi utama untuk merakam gambar di lokasi ‘hotspot’ terkenal iaitu Jambatan Fujisan Yumeno Ohashi sebelum bergerak ke destinasi terakhir di Tokyo.
Hari pertama di Tokyo dimanfaatkan sepenuhnya dengan aktiviti membeli-belah, bermula di cawangan Uniqlo terbesar di Jepun yang memiliki struktur bangunan 12 tingkat.

Saya kemudian meluangkan masa ke lubuk barangan elektronik dan anime di Akihabara bagi memburu barangan koleksi peribadi seperti Manga Demon Slayer, Digivice serta konsol permainan video klasik, Gameboy.
Kunjungan ke ibu kota Jepun itu pastinya tidak lengkap tanpa menjejakkan kaki ke lintasan pejalan kaki terkenal, Shibuya Crossing dan melawat tugu anjing setia, Hachiko.
Secara keseluruhannya, Jepun merupakan sebuah negara yang amat saya syorkan kepada pengembara luar negara, terutama bagi mereka yang pertama kali mahu berjinak-jinak dengan aktiviti kembara secara solo mahupun berkumpulan.
Meskipun kos perbelanjaan di Jepun diakui sedikit tinggi berbanding beberapa negara Asia lain seperti Korea Selatan, namun pengalaman serta nilai estetika yang ditawarkan sepanjang berada di negara tersebut ternyata amat berbaloi dengan setiap sen yang dibelanjakan.














