KUALA LANGAT – Perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjadi punca perpecahan dalam kalangan masyarakat, sebaliknya perlu diraikan dengan penuh adab dan tatasusila.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti politik hanyalah wadah atau platform, namun perkara lebih penting ialah penyatuan pemikiran, hati nurani dan tindakan demi kemajuan sesuatu kawasan.
Menurut beliau, masyarakat khususnya generasi ketiga dan keempat di Jenjarom perlu mempunyai matlamat serta hala tuju yang sama walaupun berbeza pendapat dalam pelbagai perkara.
“Perbezaan pendapat boleh diraikan, tetapi mesti ditangani dengan tasawuf, akhlak dan adab. Kita mempunyai tatacara serta tatasusila yang perlu dihormati.
“Ini bukan sahaja soal agama, tetapi soal adab sebagai masyarakat Nusantara yang dibentuk oleh adat, peradaban, budaya dan cara hidup tersendiri,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Sambutan 100 Tahun Kampung Jenjarom, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, beliau menyampaikan sijil kepada 10 bekas ketua kampung dan warga tertua Kampung Jenjarom, Soadah Yatin yang berusia 102 tahun.
Ahmad Zahid berkata, nilai tradisi dan budaya masyarakat perlu terus dipertahankan selagi tidak wujud sikap assabiah yang boleh memecahbelahkan masyarakat berdasarkan pegangan, warna kulit atau fahaman tertentu.
Katanya, kemajuan sesebuah tempat banyak bergantung kepada tahap kesatuan pemikiran dan kesepakatan masyarakat walaupun wujud perbezaan pandangan.
“Yang penting ialah kita bersatu dalam perkara yang membawa manfaat kepada masyarakat dan pembangunan kawasan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














