KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-38 menegaskan beliau tidak pernah mengabaikan aspek penting dalam siasatannya dalam kes rasuah yang dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli, menegaskan perkara itu ketika disoal balas soalan peguam Mohd. Haijan Omar yang mewakili Guan Eng, berkaitan isu penglibatan seorang ahli perniagaan dengan sebuah syarikat lain.
Terdahulu beliau memberitahu tidak mempunyai pengetahuan mengenai penglibatan ahli perniagaan Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli terhadap syarikat VST Cemerlang Sdn. Bhd. yang menjadi pembida projek mega di Pulau Pinang.
Peguam: Selain syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) memasuki tender terbuka, syarikat VST Cemerlang juga masuk open tender?
Saksi: Ya
Peguam: Siapa VST Cemerlang ini?
Saksi: Adalah syarikat pembida yg lain.
Peguam: Hasil siasatan tuan, siapakah yg meletakkan syarikat VST cemerlang untuk bertanding
Saksi: Saya tidak pasti.
Peguam: Tahu atau tidak Datuk Zarul sebenarnya yang ‘planted’ (ditempat) dalam VST Cemerlang?
Saksi: Saya tidak pasti yang saya tahu Datuk Zarul syarikat CZBUCG.
Peguam: Tuan tidak tahu bahawa Datuk Zarul ‘ada tangan’ dalam meletakkan VST Cemerlang yang ada kaitan dengannya untuk membida
Saksi: Saya tidak tahu.
Peguam: Awak tidak siasat kaitan Zarul dengan VST Cemerlang?
Saksi: Betul
Peguam: Awak tida lihat kenapa, apa sebab Zarul dalam VST dalam siasatan?
Saksi: Ya
Peguam: Tuan telah abaikannya. Dalam siasatan.
Saksi: Saya tidak setuju.
Terdahulu berdasarkan pernyataan saksinya, Zulhilmi memaklumkan CZBUCG adalah syarikat yang terbaik pembida yang dinilai.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi bersambung lagi 23 Julai ini.
Mengikut pertuduhan pertama yang telah dipinda itu, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM3.3 juta.
Ia dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.34 juta antara Januari 2011 hingga Ogos 2017, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan kedua Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan berhampiran sebuah hotel, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara pukul 12.30 tengah malam hingga pukul 2 pagi pada Mac 2011.
Selain itu, beliau turut berdepan dengan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.
Ahli Parlimen Bagan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, di Bangunan Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – KOSMO! ONLINE














