fbpx
GAMBAR HIASAN

Bedil mortar: Malbatt 850-13 selamat, tahap keselamatan dipertingkat – ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan semua anggota Malaysian Batalion 850-13 (Malbatt 850-13) yang bertugas di Selatan Lubnan selamat dan tidak terjejas dalam insiden bedilan mortar.

Markas Angkatan Tentera berkata, kejadian yang berlaku di kawasan UNP 7-2 Spanish Battalion (SpanBatt) Sektor Timur kelmarin itu mengakibatkan tiga anggota pengaman Spanbatt cedera.

Menurut kenyataan itu, seorang daripada mereka kemudiannya disahkan terkorban pada pukul 4 pagi semalam.

“ATM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga perwira Spanbatt yang gugur dan mendoakan kesembuhan segera buat anggota yang tercedera.

“ATM menegaskan pendirian mutlak bahawa sebarang bentuk serangan termasuk tembakan tidak langsung ke atas pasukan pengaman adalah satu pencabulan serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC),” katanya hari ini.

Katanya, sebagai tindak balas taktikal terhadap perkembangan itu, profil keselamatan dan perlindungan pangkalan bagi kontinjen Malbatt 850-13 ditingkatkan serta-merta ke tahap amaran tertinggi.

“Seluruh pergerakan rondaan digantung sementara waktu. Pasukan kini beroperasi di bawah prosedur operasi standard (SOP) dan Rules of Engagement (ROE) pertahanan yang paling ketat seperti yang digariskan oleh Markas UNIFIL.

“ATM melalui Markas Angkatan Bersama (MKAB) memantau situasi operasi secara berterusan bagi menjamin tahap keselamatan tertinggi buat setiap perajurit negara yang sedang menggalas mandat di zon konflik,”katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN