PETALING JAYA – Lima penumpang laluan Kelana Jaya cedera apabila tren bernombor 62 berhenti secara serta-merta berhampiran Stesen Dang Wangi kira-kira pukul 6.07 petang tadi.
Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, insiden itu berlaku selepas sistem keselamatan automatik tren diaktifkan ketika tren sedang bergerak keluar dari stesen menyebabkan tren berhenti secara serta-merta sebagai langkah kawalan operasi.
Jelas kenyataan itu, pengaktifan sistem itu adalah sebahagian daripada ciri keselamatan tren sedia ada yang direka untuk memastikan sebarang situasi luar jangka dapat ditangani dengan segera.
“Susulan pemberhentian tren secara serta-merta, seorang penumpang yang sedang berdiri dipercayai hilang imbangan sehingga botol air yang dipegangnya terlanggar panel kaca di bahagian sisi tempat duduk.
“Impak berkenaan menyebabkan panel kaca itu pecah dan serpihannya terkena pada beberapa penumpang yang duduk berhampiran,”katanya.
Menurut Rapid KL, lima penumpang mengalami kecederaan dengan dua daripada mereka dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala tiga lagi penumpang menerima rawatan di lokasi sebelum meneruskan perjalanan mereka.
Bagaimanpun kata Rapid KL, penumpang lain di dalam tren tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah diturunkan di Stesen Damai untuk meneruskan perjalanan menggunakan tren berikutnya.
“Sebagai langkah berjaga-jaga dan prosedur operasi standard, tren terlibat telah dikeluarkan daripada perkhidmatan bagi membolehkan pemeriksaan teknikal menyeluruh dilaksanakan dengan lebih terperinci.
“Perkhidmatan Laluan Kelana Jaya beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh pengendalian insiden berkenaan, namun terdapat pelarasan pada kekerapan tren di beberapa lokasi sementara tren yang terlibat dibawa keluar daripada perkhidmatan.
Rapid KL telah memulakan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca insiden dan akan terus memastikan tahap keselamatan serta keselesaan penumpang sentiasa diberi keutamaan.-KOSMO! ONLINE














