PETALING JAYA – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mengukuhkan kedudukannya di pentas penyelidikan antarabangsa apabila menyertai projek penyelidikan global Concrete Innovation for Recycled Content and Low Environmental Impact (Circle) yang menerima pembiayaan berjumlah €1.5 juta (lebih RM7.5 juta) daripada Kesatuan Eropah.
Menerusi penyertaan dalam projek berprestij itu, UniMAP dijangka menerima peruntukan penyelidikan melebihi RM1 juta sepanjang tempoh pelaksanaan projek bagi menyokong aktiviti penyelidikan, mobiliti staf, perkongsian kepakaran dan pembangunan teknologi konkrit mampan berimpak tinggi.
Sebagai tanda permulaan rasmi kerjasama tersebut, UniMAP menjadi tuan rumah Seminar Antarabangsa dan Mesyuarat Konsortium Pertama Projek Circle di Hotel Seri Malaysia, Perlis yang melibatkan penyelidik serta delegasi dari Portugal, Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Projek Circle yang dibiayai oleh European Research Executive Agency (REA) menerusi program Marie Skłodowska-Curie Actions (MSCA) Staff Exchanges di bawah Horizon Europe akan dilaksanakan dari tahun 2025 hingga 2029.
Diketuai Profesor Jorge de Brito dari Instituto Superior Técnico, Universiti Lisbon, Portugal, projek tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi konkrit berasaskan bahan kitar semula yang mampu mengurangkan kesan terhadap alam sekitar tanpa menjejaskan prestasi serta ketahanan struktur.
Ketua Projek UniMAP, Profesor Dr. Mohd. Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, penganjuran seminar dan mesyuarat pertama itu merupakan langkah penting bagi memastikan semua institusi rakan bergerak seiring dalam mencapai sasaran penyelidikan yang telah ditetapkan.
“Mesyuarat ini menjadi platform penting untuk menyelaraskan peranan setiap rakan projek, memastikan semua pihak memahami tanggungjawab masing-masing serta memperkukuhkan kerjasama yang diperlukan bagi mencapai objektif dan petunjuk prestasi utama projek.
“Lebih penting, ia membuka ruang kepada para penyelidikdari pelbagai negara untuk bertukar idea, berkongsi kepakaran dan membina jaringan penyelidikan yang berpotensi.
Melalui program itu, para penyelidik akan terlibat dalam pemindahan ilmu, pembangunan kapasiti penyelidikan serta pengukuhan jaringan kerjasama.
Konsortium Circle menghimpunkan 10 institusi dari Portugal, United Kingdom, Perancis, Korea Selatan, China, Vietnam, Indonesia, Thailand dan Malaysia.














