
Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, kemandirian negara dalam barangan keperluan telah menjadi isu penting. Keadaan ini menjadi semakin ketara susulan konflik geopolitik antara negara-negara
Barat dan Timur Tengah, di samping pertikaian perdagangan serta pelbagai krisis global yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Peristiwa ini telah menunjukkan betapa terdedahnya sesebuah negara apabila bergantung pada produk import dan rantaian bekalan antarabangsa yang kompleks.
Bagi Malaysia dan kebanyakan negara Asia Tenggara yang lain, meningkatkan pengeluaran domestik bukan sahaja merupakan keutamaan ekonomi, malah perlu sebagai langkah daya tahan negara terhadap ketidaktentuan situasi global.
Menghasilkan barangan keperluan tempatan akan membantu negara menangani kejutan global dengan lebih baik, seperti peperangan, sekatan perdagangan dan gangguan bekalan bagi barangan asas.
Salah satu contoh yang jelas mengenai kerapuhan rantaian bekalan global ialah pandemik Covid-19. Krisis ini mengganggu banyak kemudahan pengeluaran dan rangkaian pengangkutan di seluruh dunia.
Pada awalnya, kebanyakan negara mengenakan sekatan eksport ke atas peralatan perubatan, bekalan makanan dan barangan penting lain bagi memberi keutamaan kepada keperluan domestik.
Ini menjejaskan bekalan di negara-negara yang sangat bergantung penuh kepada barangan import. Malaysia, seperti kebanyakan negara lain, bergelut untuk mendapatkan bekalan peralatan perubatan yang mencukupi ketika permintaan global melonjak dan ketika negara-negara pengeksport mengehadkan penghantaran mereka buat sementara waktu.
Kebergantungan luar
Krisis ini cukup menggambarkan bahawa bagaimana kebergantungan kepada pembekal luar mampu memberi kelemahan kepada negara lain.
Contoh lainnya adalah gangguan bekalan global yang besar yang berlaku selepas konflik antara Russia dan Ukraine, yang memberi impak besar kepada pasaran komoditi global.
Rusia merupakan pengeksport utama petroleum, gas petroleum, arang batu, gandum, baja dan sumber tenaga lain manakala Ukraine dikenali kerana mengeksport bijirin, minyak haiwan dan sayur-sayuran, besi, keluli dan peralatan elektrik.
Mengikut prinsip penawaran dan permintaan, konflik tersebut telah mengganggu aktiviti eksport di rantau ini yang menyebabkan harga makanan global meningkat secara mendadak. Oleh itu, banyak negara menghadapi kekurangan atau menanggung kos yang lebih tinggi bagi mendapatkan barang komoditi tersebut.
Harga baja melonjak disebabkan oleh sekatan eksport dan gangguan bekalan tenaga, yang menjejaskan produktiviti pertanian di kebanyakan negara membangun.
Selain itu, ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah dan negara Barat telah menimbulkan kebimbangan baharu tentang kestabilan laluan perdagangan global dan bekalan tenaga.
Konflik di kawasan ini mampu menjejaskan bekalan minyak, meningkatkan kos pengangkutan serta menyebabkan inflasi dalam ekonomi, terutamanya jika gangguan tersebut berlaku di laluan perdagangan strategik seperti Selat Hormuz yang menghubungkan Teluk Parsi dan pasaran global.
Negara yang bergantung penuh pada bahan mentah yang diimport atau barangan perantaraan lain mungkin menghadapi kos pengeluaran yang lebih tinggi disebabkan oleh gangguan ini. Situasi sedemikian menunjukkan keperluan untuk membina rantaian bekalan domestik yang lebih kukuh serta mengurangkan kebergantungan pada sumber asing.
Sebagai salah sebuah negara pengeluar, Malaysia telah mendapat banyak manfaat daripada aktiviti perdagangan global dan pasaran terbuka ini. Walaubagaimanapun, negara ini masih bergantung pada aktiviti import bagi beberapa barangan lain, antaranya adalah makanan ruji termasuk gandum, produk tenusu dan bahan makanan haiwan tertentu.
Gandum adalah penting kerana ia digunakan sebagai bahan asas bagi pembuatan roti, mi dan produk makanan lain yang digunakan secara meluas di negara ini. Hal ini tidak dapat dielakkan memandangkan iklim di Malaysia tidak sesuai bagi penanaman gandum.
Ini menjadikan negara terdedah kepada situasi peningkatan dan penurunan harga serta gangguan bekalan di pasaran global.
Kukuhkan daya saing
Oleh itu, bagi mengukuhkan daya saing negara, Malaysia perlu menerapkan strategi jangka panjang yang bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran domestik dalam sektor kritikal. Dalam pertanian, tumpuan mungkin diberikan kepada peningkatan pengeluaran makanan tempatan melalui teknologi inovatif, teknik pertanian moden dan penggunaan tanah yang lebih baik.
Contohnya, pelaburan dalam pertanian hidroponik, pertanian menegak (vertical farming) dan sistem penanaman dalam persekitaran terkawal dapat membantu meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran tempatan dan produk makanan asas lainnya.
Memperkukuh industri ternakan juga dapat mengurangkan kebergantungan pada daging dan produk tenusu yang diimport. Selain itu, menggalakkan penyelidikan dalam bioteknologi pertanian dapat membantu mengembangkan varieti tanaman yang lebih sesuai dengan iklim tropika Malaysia.
Pada masa yang sama, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan membolehkan Malaysia bergerak dengan lebih jauh dalam bidang teknologi, serta menghasilkan komponen yang lebih canggih yang dapat mengurangkan teknologi yang perlu diimport.
Kerjasama antara sektor awam dan swasta secara serentak, digabungkan dengan insentif kerajaan dan dasar perindustrian yang disasarkan boleh memainkan peranan penting dalam membangunkan keupayaan domestik ini.
Akhirnya, pengajaran daripada krisis lalu menunjukkan bahawa daya tahan ekonomi memerlukan pendekatan yang seimbang antara gabungan global dan kemandirian domestik.
Walaupun perdagangan antarabangsa terus menjadi salah satu aspek yang penting untuk pembangunan ekonomi negara, pengukuhan pengeluaran barangan utama tempatan juga harus lebih giat dilaksanakan dengan segera demi menjamin kestabilan jangka panjang.
Dengan melabur dalam industri pertanian, pembuatan dan inovasi, Malaysia mampu mewujudkan sistem ekonomi yang lebih berdaya tahan dan lebih bersedia bagi menangani gangguan global pada masa hadapan, termasuklah peperangan, pertikaian perdagangan dan konflik geopolitik.
Dr. Faiz Masnan merupakan Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)














