MELAKA – Pengunjung dan pengguna Hospital Melaka kini perlu membayar caj parkir sebanyak RM2 bagi sejam pertama selepas sistem parkir berbayar mula dikuatkuasakan bermula 1 Jun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pelaksanaan caj parkir itu berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan kontrak berkenaan telah dimeterai di peringkat Persekutuan.
Menurut beliau, kadar yang dikenakan ketika ini adalah RM2 bagi sejam pertama dan RM2 bagi setiap jam berikutnya, namun kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan supaya kadar tersebut dikurangkan.
“Kerajaan negeri mencadangkan agar kadar caj parkir ditetapkan pada tahap minimum sekitar RM1 atau lebih rendah sekiranya dipersetujui pihak berkaitan.
“Pelaksanaan ini di bawah KKM kerana kontrak telah ditandatangani di peringkat Persekutuan, namun kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan supaya kadar yang dikenakan tidak membebankan rakyat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri memahami kebimbangan rakyat berhubung pelaksanaan caj parkir tersebut dan akan terus menyuarakan pandangan bagi memastikan kadar yang dikenakan lebih munasabah.
Katanya, pelaksanaan sistem parkir berbayar itu bertujuan mengatasi masalah kesesakan parkir yang sering berlaku di kawasan hospital, selain membantu memperkemaskan pengurusan ruang parkir sedia ada. – KOSMO! ONLINE














