fbpx
Gambar hiasan - JANAAN AI

RM100 ‘deposit burn’, tetamu tinggal plastik berus gigi atas meja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang penyewa inap desa meluahkan rasa tidak puas hati selepas wang deposit sebanyak RM100 tidak dipulangkan hanya kerana meninggalkan plastik pembungkus berus gigi di atas meja makan ketika mendaftar keluar.

Perkongsian individu dikenali Dila di Facebook itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen apabila dia mendakwa rumah tersebut dibersihkan sebelum beredar.

Menurutnya, dia dan keluarganya turut memastikan rumah tersebut dalam keadaan kemas, namun terkejut apabila dimaklumkan deposit keselamatan RM100 dipotong sepenuhnya atas alasan kebersihan.

“Semua sampah sudah dibuang, pinggan mangkuk dicuci dan rumah disapu. Tapi deposit hangus sebab ada plastik berus gigi tertinggal atas meja makan.

“Kalau benar itu kesalahan, rasanya terlalu tidak munasabah untuk tahan keseluruhan deposit RM100,” katanya.

Menerusi hantaran dimuat naik bersama gambar plastik pembungkus berus gigi dan tangkap layar perbualan di WhatsApp, wanita itu mempersoalkan tindakan pemilik yang didakwa terlalu tegas dalam menilai tahap kebersihan selepas pelanggan mendaftar keluar.

“Bila kita nak berbincang, dia mula block (sekat) WhatsApp dan nombor saya. Tak tahulah sama ada saya dianggap pengotor sangat hanya kerana sampah kecil itu atau pemilik ambil kesempatan tak nak pulangkan duit pelanggan,” katanya.

Perkongsian tersebut meraih perhatian netizen dengan ramai berpandangan pemilik inap desa sepatutnya bertolak ansur sekiranya melibatkan sampah kecil yang mudah dibersihkan.

“Kalau sebab satu plastik kecil, rasanya cukup sekadar beri teguran. Deposit sepatutnya digunakan untuk kerosakan atau kehilangan barang,” komen seorang pengguna.

“Dahsyat juga pemilik punya straight (tegas). Tapi kalau memang ada dalam syarat-syarat sewa, hak pemilik juga untuk bertindak begitu. Cuma mungkin boleh caj sebahagian, tak perlu sampai RM100 hanya kerana satu sampah kecil yang tidak kotor dan berbau,” kata AsyikinMdLahh.

Bagaimanapun, terdapat netizen yang mempertahankan tindakan pengusaha inap desa tersebut dengan alasan setiap pelanggan perlu mematuhi syarat yang telah ditetapkan.

“Kalau dalam peraturan sudah dinyatakan rumah perlu ditinggalkan dalam keadaan bersih, seperti mana penyewa masuk, penyewa kena terima. Tidak kira besar atau kecil sampah yang ditinggalkan,” balas Sharul.

“Tinggal di homestay (inap desa) kadang sudah murah owner (pemilik) ambil, tak caj kos pembersihan, jadi sampah yang sendiri buat, buang dalam tong sampah bukan tinggal merata. Sebab itu disediakan tong sampah di dalam dan luar rumah,” kata Zack900. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN