KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri cedera, manakala seorang kanak-kanak maut apabila motosikal yang mereka naiki terlibat kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Cheras menghala ke Jalan Loke Yew, di sini pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kejadian kira-kira pukul 8.18 pagi itu melibatkan dua motosikal jenis SYM Husky 150 SE dan Yamaha Y15ZR serta sebuah kereta jenis Honda CRV.
“Siasatan awal mendapati motosikal SYM Husky 150 SE ditunggang seorang lelaki berusia 35 tahun yang membonceng anak perempuannya berusia 8 tahun serta isterinya berusia 35 tahun.
“Mereka dipercayai mencelah di antara lorong kiri dan kanan semasa keadaan trafik sesak sebelum hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah Honda CRV,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd. Zamzuri, sebuah lagi motosikal Yamaha Y15ZR yang berada di belakang tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal tersebut sebelum terjatuh di atas jalan.
“Akibat kemalangan, pembonceng kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian pinggang serta kedua-dua belah kaki manakala pembonceng wanita mengalami kecederaan pada tangan kanan dan sedang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz,” jelasnya.
Beliau menambah, pemandu Honda CRV iaitu seorang lelaki berusia 59 tahun tidak mengalami kecederaan, manakala penunggang lelaki berusia 47 tahun mengalami luka pada bahagian lutut kiri.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














