fbpx
Gambar hiasan.

2.2 juta kenderaan sehari, anak perantau balik Lembah Klang mulai esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Plus Malaysia Berhad (Plus) menjangkakan peningkatan ketara aliran trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari di rangkaian lebuh rayanya sempena pergerakan pulang ke Lembah Klang selepas berakhirnya cuti Hari Raya Aidiladha dan cuti perayaan berganda.

Plus dalam kenyataan hari ini memaklumkan, hari puncak bagi perjalanan pulang ke ibu negara dikenal pasti pada 4, 5, 6 dan 7 Jun ini.

Jelasnya, ia susulan gabungan trafik perjalanan jarak jauh serta pergerakan antara bandar-bandar utama menuju ke Lembah Klang selepas tamat tempoh cuti perayaan dan persekolahan.

“Justeru, pengguna dinasihatkan supaya mengikuti jadual MyPLUS-TTA yang boleh diakses menerusi Aplikasi Plus dan merancang waktu perjalanan pulang mengikut waktu yang dicadangkan.

“Langkah ini penting bagi membantu mengimbangi aliran trafik serta mengurangkan kesesakan di lokasi-lokasi tumpuan sepanjang lebuh raya,” katanya.

Sepanjang musim perayaan ini, Plus turut mengaktifkan laluan Smart Lane di 33 lokasi tumpuan di sepanjang lebuh raya.

Selain itu, semua kemudahan awam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah seperti gerai makanan dan minuman, surau dan tandas dibuka 24 jam.

“Orang ramai juga disaran merancang lokasi hentian untuk berehat atau beribadah di plaza-plaza tol sepanjang lebuh raya,” katanya.

Dalam pada itu, pengguna lebuh raya diingatkan supaya memastikan baki kad Touch ‘n Go dan e-dompet bagi pengguna RFID serta JustGO mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kesulitan di plaza tol.

Plus turut menasihatkan pengguna mendapatkan maklumat trafik semasa melalui aplikasi Plus, Waze, Google Maps, Pembantu Maya PUTRI, akaun X @plustrafik dan @lpt2trafik, paparan mesej elektronik (VMS) serta laporan stesen radio utama negara.

Sebarang bantuan kecemasan boleh diperoleh dengan menghubungi PLUSLine di talian 1800-88-0000 atau LPT2Line di 1800-88-0220. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN